WADAH Kecam Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Hina Sahabat Nabi SAW

SHAH ALAM – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengecam keras kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan dan merendah-rendahkan kewibawaan para Sahabat Nabi Muhammad SAW dalam satu ceramah politik baru-baru ini.

Timbalan Presidennya, Hasri Harun berkata, pihaknya memandang serius ucapan berkenaan kerana ia bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah boleh menimbulkan kekeliruan terhadap kedudukan dan kemuliaan para Sahabat Rasulullah SAW yang menjadi tonggak penting dalam perkembangan Islam.

Menurut beliau, para Sahabat RA merupakan generasi terbaik umat Islam yang dipilih oleh Allah SWT untuk mendampingi Rasulullah SAW, membantu perjuangan Baginda serta menyampaikan risalah Islam kepada seluruh umat manusia.

“Bagi WADAH, para Sahabat Nabi SAW adalah insan mulia yang telah diangkat kedudukannya oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW sendiri. Mereka memainkan peranan besar dalam mempertahankan, menyebarkan dan membangunkan tamadun Islam sehingga agama ini dapat dinikmati umat manusia hingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hasri berkata, kemuliaan para Sahabat telah dirakamkan secara jelas dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Antaranya menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Fath ayat 29 yang bermaksud:

“Muhammad itu adalah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka…”

Selain itu, katanya, Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik manusia adalah generasiku (para Sahabat), kemudian yang mengikuti mereka (Tabi’in), kemudian yang mengikuti mereka (Tabi’ Tabi’in).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sebarang usaha mencemarkan nama atau menjatuhkan maruah para Sahabat Nabi SAW adalah bertentangan dengan adab dan akhlak Islam.

Katanya, tindakan membangkitkan kisah-kisah lampau sebelum pengislaman para Sahabat, apatah lagi dengan fakta yang masih dipertikaikan kesahihannya, tidak membawa manfaat kepada umat Islam, bahkan boleh mencetuskan perpecahan dan kebencian.

“Apalah tujuan membangkitkan sejarah lama para Sahabat sebelum Islam, sedangkan Allah SWT lebih mengetahui keadaan mereka dan akhirnya memilih mereka untuk bersama Rasulullah SAW membangunkan Islam.

“Mereka telah melalui proses tarbiah secara langsung daripada Rasulullah SAW dan menjadi insan yang paling berjasa dalam menyebarkan agama ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan polemik seumpama itu boleh menggugat keharmonian masyarakat serta menimbulkan kekeliruan terhadap sejarah Islam, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Justeru, WADAH menyeru semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan berkaitan tokoh-tokoh besar Islam serta mengelakkan ucapan yang boleh mencetuskan provokasi.

Dalam kenyataan sama, WADAH menggariskan empat pendirian utama yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam di negara ini, iaitu menghormati kedudukan para Sahabat Nabi SAW sebagai tokoh agung Islam, mengelakkan sebarang fitnah atau kenyataan tidak berasas terhadap sejarah Islam, merujuk kepada autoriti ilmiah dan ulama muktabar dalam memahami isu sejarah Islam serta memelihara perpaduan umat dengan mengutamakan adab dalam perbezaan pandangan.

Pada masa sama, WADAH turut menggesa pihak berkuasa dan institusi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan kebencian atau penghinaan terhadap tokoh-tokoh Islam.

Hasri berkata, umat Islam sewajarnya kembali kepada pendekatan ilmu, hikmah dan akhlak mulia dalam menyampaikan pandangan selaras dengan ajaran Islam sebagai agama rahmat untuk seluruh alam.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 108 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mencaci orang-orang yang mereka sembah selain Allah, nanti mereka akan mencaci Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”

Sebelum ini, tular beberapa video memaparkan ceramah Dr. Nik Muhammad Zawawi yang didakwa menyentuh sejarah kehidupan empat Sahabat utama Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan dan Ali Abi Talib sebelum mereka memeluk Islam.

Antara dakwaan yang disebut dalam ceramah berkenaan termasuk menggambarkan Saidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” yang gemar memeras golongan miskin ketika zaman Jahiliah, manakala Saidina Umar pula didakwa sebagai seorang lelaki zalim dan gemar berzina sebelum memeluk Islam.

Difahamkan, kenyataan tersebut disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu sebelum rakaman video berkenaan tersebar luas di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *