NEW YORK – Dua lelaki, masing-masing seorang warga Kanada dan penduduk New York mengaku bersalah atas tuduhan mengeksport barangan elektronik bernilai jutaan dolar secara haram.
Tertuduh, Nikolay Goltsev, 38, dari Montreal, Kanada dan Salimdzhon Nasriddinov, 53, dari Brooklyn, New York didakwa mengeksport barangan itu dari Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan penghasilan senjata digunakan Russia di Ukraine.
Timbalan Peguam Negara, Lisa Monaco berkata, kedua-tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun kerana berkomplot melakukan pelanggaran kawalan eksport.
Goltsev dan Nasriddinov akan dijatuhi hukuman di Mahkamah Persekutuan di sini pada Disember ini, manakala isteri kepada Goltsev, Kristina Puzyreva sedang menunggu hukuman.
“Mereka menghantar barangan elektronik yang menjadi komponen penting untuk peluru berpandu dan dron digunakan Russia untuk menyerang Ukraine, bernilai jutaan dolar dari AS dan kini berdepan hukuman penjara kerana rancangan terbabit.
“Kami komited memastikan pihak yang menyokong mesin perang Putin (Presiden Russia, Vladimir Putin) untuk bertanggungjawab selagi Moscow meneruskan perang ke atas Ukraine,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan dokumen mahkamah, kedua-dua tertuduh dan Puzyreva yang mengaku bersalah pada Februari lalu, berkomplot untuk menghantar barangan elektronik dwikegunaan bernilai AS$7 juta (RM32.95 juta) dari AS ke beberapa syarikat Russia.
Jabatan Keadilan AS berkata, sebahagian komponen itu adalah kritikal untuk sistem senjata panduan tepat Russia yang digunakan terhadap Ukraine.
Nasriddinov dan Goltsev menghantar komponen itu menerusi ‘front company’ (entiti pelindung) di beberapa negara, termasuk Turkiye, India, China dan Emiriah Arab Bersatu, sebelum dialihkan ke Russia. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252