BERITA UTAMA
2 beradik termakan keropok beracun: Ibu belum terfikir ambil tindakan

2 beradik termakan keropok beracun: Ibu belum terfikir ambil tindakan

GEORGE TOWN – Ibu kepada dua beradik yang kritikal selepas makan makanan ringan yang disyaki mengandungi racun tikus, Nurain Hasnorizal, 25, masih tidak dapat memikirkan tindakan seterusnya terhadap jiran kerana hendak menumpukan perhatian kepada kedua-dua anaknya itu terlebih dahulu.

Nenurutnya, keadaan kedua-anak beliau masih sama, tidak menunjukkan sebarang perubahan positif selepas  dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak Ahad lalu.

Katanya, kedua mereka masih berada dalam keadaan koma dan dipantau rapi oleh doktor pakar.

“Saya tak fikir lagi mengenai tindakan ke atas jiran, sama ada mahu ambil tindakan atau pun memaafkan sahaja mereka. Mungkin saya akan bincang dengan keluarga dulu.

“Buat masa ini, saya nak tumpu kepada anak dulu. Fikiran saya masih kepada mereka.

“Keadaan mereka masih sama sejak dimasukkan ke hospital, dalam keadaan koma dan doktor kata, tiada perubahan positif ditunjukkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan HPP di sini, hari ini.

Ditanya sama ada jirannya ada menghubungi keluarga atau dirinya sendiri untuk berbincang, Nurain berkata, sehingga kini, tiada panggilan telefon mahu pun ajakan berbincang daripada jirannya itu.

“Tak ada,” katanya ringkas.

Menurut Nurain, doktor sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan kedua-dua anak kesayangannya itu.

“Abang yang paling kritikal sebab masih tiada tindak balas, masih dalam keadaan lemah. Adik pula, tekanan darah dia ok, doktor tengah masukkan ubat.

“Saya harap yang terbaik untuk anak-anak saya, saya reda apa sahaja takdir,” katanya.

Bercerita lanjut, Nurain berkata, jirannya itu kerap meletakkan racun monyet di bahagian belakang kebun, namun pada hari kejadian, racun tersebut turut diletakkan di bahagian hadapan kebun.

“Semua lima peket keropok mengandungi racun monyet. Jarak antara rumah saya dengan kedudukan keropok itu disangkut hanya 50 meter.

“Saya memang tak sangka perkara ini berlaku ke atas anak-anak saya kerana sebelum ini pun, jiran memang sangkut keropok, tetapi di bahagian belakang kebun. Mungkin benda nak jadi, kali ini dia letak di depan kebun,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, dua beradik Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun tujuan bagi perangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *