BERITA UTAMA
Sindiket pecah rumah terlibat 15 kes sekitar Subang Jaya tumpas

Sindiket pecah rumah terlibat 15 kes sekitar Subang Jaya tumpas

KUALA LUMPUR – Sindiket pecah rumah yang disyaki menjadi dalang dalam 15 kes pecah rumah di sekitar daerah Subang Jaya, berjaya ditumpaskan polis, pada Sabtu lalu, lapor AWANI.

Sindiket didalangi lima individu warga tempatan termasuk dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 32 tahun itu ditahan polis di sekitar Lembah Klang.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pihaknya sedang menyiasat satu kejadian pecah rumah di daerah itu yang berlaku pada Khamis lalu.

“Polis menerima laporan daripada seorang pengadu memaklumkan rumahnya dipecah masuk melalui pintu pagar yang dirosakkan dan rumah berada dalam keadaan berselerak pada jam 12.30 tengah hari.

“Pengadu juga mendapati barang berharga serta wang tunai miliknya serta keluarganya telah hilang dengan anggaran kerugian bernilai RM40,000.

“Hasil risikan, Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya telah membuat tangkapan ke atas tiga lelaki dan dua wanita warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Wan Azlan berkata, polis turut merampas sebahagian barangan kes seperti jam tangan dan beg tangan wanita.

“Semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, selain soal siasat mendapati sindiket itu terlibat dengan lebih 15 kes pecah rumah sekitar Subang Jaya.

“Semua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *