BERITA UTAMA
Program kecemerlangan YBR bantu 329 pelajar hadapi SPM, STPM

Program kecemerlangan YBR bantu 329 pelajar hadapi SPM, STPM

BATU KURAU – Seramai 329 pelajar dari dua sekolah menengah di sini, yang bakal menduduki dua peperiksaan utama tidak lama lagi, dipilih menyertai Program Kecemerlangan Tingkatan 5 dan 6.

Program anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Kamaruddin dan SMK Jelai itu sebagai usaha memartabatkan pendidikan lebih holistik kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, peringkat permulaan program seramai 329 pelajar SPM dan STPM 2024 akan mengorak langkah secara lebih sistematik serta terancang dengan menduduki dua peperiksaan peperiksaan itu nanti.

“Program ini antara lain bertujuan bagi memberikan pendedahan mengenai teknik menjawab soalan peperiksaan kepada pelajar berkenaan berkaitan subjek teras dan elektif.

“Selain itu, ia juga bagi meningkatkan motivasi dan semangat pelajar serta sebagai persediaan minda mereka sebelum menduduki peperiksaan,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Program Kecemerlangan Tingkatan 5 dan 6 SMK Dato’ Kamaruddin serta SMK Jelai di sini.

Turut hadir, Pengetua SMK Dato’ Kamaruddin, Efandi Zainuddin; Pengetua SMK Jelai, Hairo Rose Sidi Abu Bakarni; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menurut Syaiful Rizal lagi, beliau amat teruja dengan program yang diadakan itu, kerana dapat meningkatkan prestasi pendidikan serta akademik pelajar berkenaan.

Kata beliau, YBR sentiasa mendokong aspirasi pendidikan negara dan program sebegini mampu memberikan impak tinggi kepada pencapaian pelajar dalam menduduki peperiksaan SPM dan STPM tidak lama lagi.

“Kita harap program ini dapat membantu meningkatkan peratus pelajar cemerlang dan lulus dalam dua peperiksaan utama ini bagi tahun 2024.

“Bantuan yang disalurkan kepada sekolah ini diharapkan dapat membantu mereka memberi peluang kepada pelajar mengulang kaji pelajaran bersama guru masing-masing serta mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan.

“Usaha ini juga salah satu strategi YBR dalam membantu masyarakat di Malaysia terutama bidang pendidikan, baik di bandar mahupun di luar bandar,” katanya. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *