Profil Presiden Iran, Masoud Pezeshkian

Profil Presiden Iran, Masoud Pezeshkian

TEHRAN – Masoud Pezeshkian, sebelum dipilih sebagai Presiden Republik Islam Iran, adalah seorang ahli Parlimen Iran yang kurang dikenali dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.

Masoud menewaskan lawan ultrakonservatif, Saeed Jalili, bekas perunding nuklear utama dan ketua badan keselamatan tertinggi, dengan julat 2.7 juta undi dalam keputusan yang diumumkan awal Sabtu.

Seorang tokoh politik berprofil rendah, Masoud berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan dalam kerajaan Mohammad Khatami (2001-2005) dan mewakili bandar barat laut Tabriz di Parlimen Iran sejak 2008.

Seorang pakar kardiologi, Masoud sebelum ini mengetuai Universiti Sains Perubatan Tabriz, salah satu institusi perubatan terkemuka di utara Iran.

Sebelum ini, dua cubaan beliau bertanding untuk jawatan presiden, masing-masing pada 2013 dan 2021, tidak berjaya.

Pada tahun 2013, beliau menarik diri daripada perlumbaan presiden dan menyokong bekas Presiden, Hashemi Rafsanjani, pada 2021, tetapi pencalonannya ditolak oleh Majlis Penjaga, badan pemeriksa tertinggi negara.

Sebagai satu-satunya calon reformis dalam perlumbaan kali ini, disokong oleh gabungan reformis terkemuka negara, Masoud terbabit dalam kempen yang sibuk sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kempennya disokong dengan kehadiran bekas ahli politik dan menteri reformis, termasuk Javad Zarif, yang berkhidmat sebagai Menteri Luar selama dua penggal di bawah bekas Presiden Hassan Rouhani.

Tinjauan sebelum pilihan raya menunjukkan sokongan ketara kepada Masoud, terutama selepas lima siri perbahasan presiden yang disiarkan di televisyen pada pusingan pertama, di mana beliau lantang mengenai isu dasar dalam dan luar negara.

Dalam perbahasan presiden, beliau menegaskan bahawa sekatan bertindak sebagai penghalang dalam menarik rakan perdagangan dan mencapai kadar pertumbuhan lapan peratus adalah mustahil tanpa membuka sempadan.

Beliau bersungguh-sungguh mempertahankan perjanjian nuklear 2015 yang dicapai antara Iran dan kuasa dunia semasa pentadbiran Rouhani, seorang rakan reformis.

Masoud juga lantang mengenai isu wanita, termasuk syarat memakai tudung dan lantang menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan undang-undang berkaitan kod berpakaian Islam. – BERNAMA-AA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *