Prebet Muhammad Syafiq jejak tanda-tanda sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian

Prebet Muhammad Syafiq jejak tanda-tanda sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian

KUCHING – Anggota Batalion ke-7 Rejimen Sempadan (RS) Prebet Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau dapat menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, anggota tentera itu ditemukan dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.

“Anggota terbabit seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” kata kenyataan itu mengenai Prebet Muhammad Syafiq yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang 18 Jun lalu.

Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.29 pagi selepas 17 hari operasi pencarian diaktifkan.

Menurut kenyataan itu, keluarga anggota RS terbabit sudah dihubungi oleh pihak TDM menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat.

“Semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM,” kata TDM.

Markas TDM turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi itu khususnya kepada Kerajaan Sarawak, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), individu serta semua yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga Muhammad Syafiq berjaya ditemui selamat.

“TDM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang operasi SAR ini dijalankan.

“Kerjasama erat antara TDM dan ABDB dalam operasi ini telah membuktikan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara dan terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan operasi ini sehingga beliau berjaya ditemui dengan selamat,” katanya.

Sehubungan itu TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada Standard Operating Procedure (SOP) sedia ada.

Muhammad Syafiq dari Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *