KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat penyelewengan ke atas projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menegaskan, siasatan hingga ke akar umbi perlu dilakukan bagi mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab dengan cadangan penambaikan dalam urusan pembelian aset ketenteraan negara itu.
Katanya, beliau yakin ada penyelewengan kerana mantan Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ada menulis dan mengemukakan 10 pucuk surat kepada Kementerian Kewangan membantah kerana membuat keputusan tidak mengikut spesifikasi LCS yang dikehendaki oleh tentera laut.
“Ianya satu bentuk salahguna kuasa yang jijik. Rakyat tidak akan berdiam diri dan berpeluk tubuh selagi kerajaan tidak mendedahkan penyiasatan secara terperinci dan hitam putih melalui penyiasatan RCI yang patut dibuat secara terbuka agar orang ramai dapat ikuti perjalanan siasatan ini.
“Saya Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan penubuhan RCI ini kerana beliau dikenali dengan keperibadian yang lantang atas isu melibatkan tatakelola dan pendirian yang tegas, lebih lagi dalam menentang rasuah.
“Lainlah kalau Anwar hanya beretorik dan bersandiwara dalam memberi ucapan dan berkata-kata,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan berjaya menubuhkan RCI untuk siasat isu Forex BNM dan kes Pulau Batu Putih, tidak ada sebab untuk menolak penubuhan RCI bagi menyiasat isu projek LCS.
Ibrahim mencadangkan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dilantik sebagai Pengerusi RCI itu dan dibantu mantan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai timbalan serta tiga lagi wakil dari kalangan tokoh berwibawa dan berintegriti.
Namun, katanya, terpulang kepada kebijaksanaan Anwar untuk melantik sesiapa sahaja pengerusi, timbalan dan anggotanya yang dikira layak serta sesuai.
“Semoga kita semua tidak menjadi hipokrit dan insya-Allah, Putra serta saya sendiri secara peribadi akan memberi kepercayaan dan sokongan yang bulat sekiranya RCI LCS ditubuhkan segera.
“Sekiranya jawapan daripada Perdana Menteri tidak memuaskan, saya akan membawa perkara ini untuk mendapatkan ampun perkenan Yang di-Pertuan Agong yang juga merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menubuhkan RCI LCS.
“Ini kerana walaupun telah banyak laporan SPRM dibuat ke atas LCS, ianya masih tiada khabar berita dan jauh dari memuaskan,” katanya.
Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combat Ship di bawah Kementerian Pertahanan menjadi kontroversi kerana melibatkan perbelanjaan wang negara secara keseluruhan sebanyak RM11.2 bilion.
Ujar Ibrahim, isu itu berbangkit beberapa tahun lalu sebelum PRU15, malah ketika itu Anwar selaku Ketua Pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam kempen pilihanraya dengan lantang mengungkit kegagalan pembinaan LCS dan menegaskan jika PH berjaya menawan Putrajaya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam skandal itu.
Kata beliau lagi, awalnya LCS dicadang untuk dibina sebanyak enam buah dengan nilai RM9.128 bilion, tetapi dikurangkan kepada lima berikutan pembinaan yang keenam belum dimulakan.
“Namun, pada tahun 2022, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu pun daripada enam kapal siap dibina walaupun Putrajaya sudah membuat bayaran sebanyak RM6.08 bilion.
“Harga asal pembinaan projek LCS iaitu RM9.128 bilion itu selepas disemak balik, kos pembinaan meningkat menjadi RM11.22 bilion dengan pertambahan RM2.098 bilion pada Mei 2023. Bukankah ini satu lagi tragedi kecelakaan kepada negara dan rakyat Malaysia?
“Sungguhpun kerja menyiapkan projek LCS ini diteruskan selepas harga disemak balik, tetapi pada Februari lalu, PAC melaporkan pembinaannya menghadapi kelewatan 86 hari sejak Disember tahun lalu,” katanya.
Namun begitu, kata Ibrahim, difahamkan LCS 1 dijangka siap 85 peratus pada November ini dan mengambil masa dua tahun untuk diuji, manakala dalam tempoh itu, LCS 2 akan siap 78.17 peratus dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.
Pada ketika itu, LCS 3 mencapai kemajuan 61.48 peratus, LCS 4 (53.40 peratus), dan LCS 5 (44.11 peratus).
“Sungguhpun PAC telah bermesyuarat dan membuat penelitian, ianya tidak memadai untuk menentukan apakah sebenarnya berlaku sehingga begitu teruk pelaksanaan dan pengurusannya.
“Pasti ada penyangak dan tangan-tangan kotor terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam projek LCS ini.
“Oleh kerana ianya melibatkan wang negara yang juga wang rakyat, sama buruknya seperti kes 1MDB, maka saya selaku Presiden Putra mendesak Anwar untuk menubuhkan segera RCI bagi kes ini,” tegas beliau. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252