BERITA UTAMA
Polis siasat penyebaran gambar kecederaan didakwa Zayn Rayyan

Polis siasat penyebaran gambar kecederaan didakwa Zayn Rayyan

SHAH ALAM – Polis menyiasat penyebaran gambar memaparkan keadaan kecederaan pada mayat yang didakwa adalah Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Orang ramai diminta tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

“Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana individu didapati berkongsi kandungan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, laporan dibuat oleh pegawai kanan polis pada jam 12.15 tengah hari Ahad.

Berdasarkan kenyataan yang tular, dipercayai gambar terbabit ketika prosedur proses bedah siasat.

Gambar berkenaan dimuat naik di aplikasi telefon pintar, Telegram sejak malam tadi.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari sebelum polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Berikutan itu, pada 31 Mei lalu, polis mengesahkan penahanan ibu bapa Zayn Rayyan sebelum dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada 12 Jun di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, tular kertas siasatan pembunuhan kanak-kanak berkenaan di aplikasi yang sama.

Pada 14 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat penyebaran kertas siasatan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di aplikasi Telegram.

Jelas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pihak yang menyebarkan kertas siasatan tersebut boleh diambil tindakan kerana kes terbabit kini di peringkat mahkamah. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *