BERITA UTAMA
Sanusi terima kekalahan di padang, yakin menang PRK

Sanusi terima kekalahan di padang, yakin menang PRK

SUNGAI BAKAP – Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerima kekalahan pasukannya dalam perlawanan persahabatan bola sepak menentang pasukan pilihan Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah di Padang Taman Pekatra, Simpang Ampat, Pulau Pinang pada petang semalam.

Kekalahan pasukan PN dengan jaringan 3 berbalas 2 kepada pasukan Pakatan Harapan (PH) itu disifatkan adat dalam setiap pertandingan.

Bagi Menteri Besar Kedah itu, apa yang lebih penting adalah semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua pemain selain sokongan padu yang ditunjukkan oleh penyokong masing-masing membuktikan sukan boleh sepak dapat menyatupadukan masyarakat.

“Kalah atau menang itu belakang kira, ini semangat kesukanan yang perlu kita tunjukkan.

“Bagi saya, penganjuran perlawanan persahabatan ini membuktikan kita dapat berpolitik secara matang walaupun masing-masing giat berkempen untuk calon masing-masing dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap pada masa ini,” katanya dipetik Sinar Harian.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Muhammad Sanusi berkata, biarpun tewas di padang, namun dia yakin pihaknya akan menang di luar (PRK Sungai Bakap) yang akan ditentukan oleh pengundi pada Sabtu ini.

Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan PH dan PN yang julung kali diadakan dalam kempen pilihan raya dicetuskan oleh Akmal yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada Ahad lalu melalui pentas ceramah kempen PH di Sungai Bakap.

Akmal berkata, beliau menjemput Muhammad Sanusi serta jentera PN untuk berentap dalam perlawanan persahabatan bola sepak sempena PRK Sungai Bakap bagi merancakkan lagi kempen yang diadakan.

Selain itu katanya, melalui penganjuran perlawanan itu ia mampu mendekati anak muda khususnya masyarakat di Sungai Bakap.

Bagaimanapun berlaku kontroversi pada Sabtu apabila perlawanan persahabatan bola sepak yang dicadang itu dikatakan terpaksa dibatalkan berikutan tiada kata akhir yang diterima daripada pihak Muhammad Sanusi.

Kehadiran lebih 500 penonton dan penyokong daripada kedua-dua pasukan juga memeriahkan perlawanan berkenanan tanpa melibatkan sebarang insiden pergaduhan dan provokasi. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *