TEL AVIV – Komander Brided ke-12 Israel, Leftenan Kolonel Hevri El-Baz, mengakui bukan tugas mudah untuk menghapuskan Briged Al-Qassam, sayap tentera kumpulan Hamas.
Tegasnya, tindakan menghapuskan kekuatan pergerakan itu khusunya di Rafah, selatan Semenanjung Gaza boleh mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi.
Beliau turut mengesahkan Hamas melancarkan perang gerila di Rafah yang terdiri daripada kumpulan bebas, yang menyukarkan tugas mengekang kemaraan kumpulan pejuang itu.
Sejak 6 Mei lalu, tentera pendudukan Israel telah melancarkan serangan darat ke atas bandar Rafah, dan keesokan harinya ia menawan lintasan Rafah ke Mesir, kemudiannya menutupnya sekali gus menyukarkan usaha membawa rakyat Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan dan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Pada 29 Mei, tentera Israel mengumumkan selesainya kawalan ke atas paksi sempadan Philadelphia (Salah al-Din), yang bermaksud bahawa Semenanjung Gaza secara berkesan dipisahkan dari Mesir.
Khamis lalu, Menteri Pertanian Israel, Avi Dichter, berkata usaha menghapuskan keupayaan Hamas memerintah Semenanjung Gaza masih jauh untuk dicapai.
Walaupun sembilan bulan telah berlalu sejak permulaan perangnya ke atas Gaza, Israel tidak dapat mencapai sebarang matlamat yang diisytiharkan, terutamanya menghapuskan kekuatan Hamas dan membawa pulang tawanan Israel dari Semenanjung.
Perang Israel, yang berterusan di Gaza sejak 7 Oktober 2023, telah mengakibatkan lebih 124,000 orang Palestin syahid dan cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih 10,000 orang hilang, di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kebuluran yang telah meragut nyawa.
Israel meneruskan perangnya walaupun Majlis Keselamatan PBB telah mengeluarkan resolusi untuk perang dihentikan serta-merta, dan perintah daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menamatkan pencerobohan Rafah, mengambil langkah-langkah untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai, dan memperbaiki keadaan kemanusiaan yang teruk di Gaza. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252