KOTA BHARU – Landskap politik Malaysia hari ini telah banyak berubah dengan ketiadaan parti tunggal yang dominan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
Justeru, menyedari hakikat itu, calon yang diletakkan tidak lagi boleh bergantung harap kepada tuah logo dan bendera dibawa, tetapi diri calon sendiri yang menjadi ukuran pengundi.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh yang juga mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, sejak sekian lama, tokoh yang kekal hidup dalam politik sepanjang zaman lazimnya bukan lahir sebagai bidan terjun, tetapi telah awal-awal lagi dilengkapi pakej sempurna sebagai pemimpin.
Kata beliau, latarbelakang NGO, pertubuhan belia, sukarelawan dan khidmat masyarakat hampir pasti menjadi syarat wajib pemimpin sedemikian, bukan sekadar pembodek politik yang hanya mampu menjulang bos untuk menjadi calon pilihan raya.
“Melihat kepada kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, maka calon yang sudah tersedia dengan pakej lengkap tidak lain ialah Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
“Saya pernah bersama dalam Pemuda UMNO ketika beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, manakala saya sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia pada penggal lalu.
“Dari segi penglibatan NGO, saya hampir 10 tahun bekerja bersama beliau dalam Majlis Perundingan Belia Negara dan Majlis Belia Negeri Kelantan. Sebahagian besar zaman muda beliau dikorbankan untuk masyarakat terutama golongan belia dalam Gua Musang secara khususnya, mahupun dalam negeri Kelantan,” katanya dalam kenyataan kepada NasionalDaily di sini, malam ini.
Nik Saiful berkata, Mohd Azmawi juga anak didik satu-satunya calon Barisan Nasional (BN) yang masih mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu iaitu ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim baik dalam politik, mahupun NGO Belia 4B, Majlis Belia Negeri dan pelbagai organisasi khidmat masyarakat dalam negeri Kelantan.
“Saya percaya Azmawi ada membawa DNA kehebatan sebagaimana Syahbuddin dan sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri, beliau hanya tahu bekerja untuk parti dan rakyat.
“Bukan seperti sebahagian pemimpin parti yang merajuk lari, bahkan menentang parti apabila tidak dicalonkan bertanding dalam pilihan raya meskipun memegang jawatan utama dalam parti. Inilah kualiti pemimpin yang kita mahukan dan ciri-ciri ini sudah hampir pupus.
“Saya amat berharap kepimpinan UMNO/BN menilai sewajarnya tokoh muda sebegini untuk diangkat naik. Senioriti bukan lagi ukuran kecemerlangan. Lagikan pokok kelapa zaman sekarang pun ambil masa dua tahun sahaja untuk berbuah, bukan tujuh tahun seperti zaman dahulu,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252