BERITA UTAMA
Lebih 300 peserta negara anggota ASEAN peroleh manfaat perkongsian amalan terbaik ESG

Lebih 300 peserta negara anggota ASEAN peroleh manfaat perkongsian amalan terbaik ESG

KUALA LUMPUR – SME Corp. Malaysia (SME) telah menerajui satu acara penting iaitu Dialog Dasar dan Bengkel SMEs ASEAN Hong Kong, China ke Arah ESG 2024.

Sebagai agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME memilih Hotel Sunway Putra di sini sebagai lokasi bengkel bagi menarik lebih 300 peserta PKS  tempatan, negara anggota ASEAN termasuk Hong Kong dan China menyertainya.

Acara itu berfungsi sebagai platform untuk pertukaran ilmu dan maklumat, selain meningkatkan kesedaran mengenai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta berkongsi amalan terbaik mengenai kelestarian dalam kalangan negara ASEAN.

“Majlis pembukaan bertepatan dengan sambutan Hari MSME Antarabangsa 2024 dan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

“Acara selama satu setengah hari ini bertemakan “Memperkasakan Kelestarian PKS” dan hadirin melibatkan pegawai kerajaan, pakar ESG, pemilik PKS, wakil institusi kewangan dan akademia.

“Acara ini bertujuan untuk mendidik peserta mengenai kepentingan amalan ESG, pembangunan strategi ESG serta pengukuran dan pemantauan prestasi ESG,” kata kenyataan kepada media, semalam.

Menurut kenyataan itu, sesi dialog menumpukan kepada pembangunan cadangan dasar untuk menggalakkan penerimaan amalan ESG dalam kalangan PKS, berkongsi kisah PKS yang merintis perjalanan ESG dan menonjolkan usaha kerajaan serta agensi berkaitan di rantau ini.

Penceramah terkemuka memberikan pandangan mengenai amalan terbaik, cabaran dan cadangan dalam sesi perkongsian.

Dalam ucaptama, Ewon Benedick berkata, ASEAN komited untuk mempromosikan kelestarian di rantau ini melalui pelbagai inisiatif.

Katanya, bagi Malaysia, menggalakkan PKS mengamalkan amalan ESG adalah satu langkah ke arah memperkukuhkan komitmen kerajaan terhadap Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pembangunan Mampan dan Perjanjian Paris di bawah Rangka Kerja Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

“Mempercepatkan penerimaan ESG juga merupakan antara inisiatif yang dirancang di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021 hingga 2025,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok mengulangi sentimen itu dalam ucapan alu-aluannya yang menekankan dedikasi organisasi untuk pertumbuhan dan pembangunan PKS yang berdaya tahan dengan ESG sebagai fokus utama.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy pula berkata, kebersediaan dengan ESG  adalah kelebihan besar untuk PKS mengakses pasaran tempatan dan global.

Oleh itu, katanya, SME Corp. Malaysia telah melancarkan Panduan Pantas ESG untuk MSME bagi memudahkan penerimaan amalan ESG yang boleh dimuat turun secara percuma setelah mengambil penilaian di laman web.

Kata beliau, pihaknya juga mengiktiraf MSME yang aktif mengintegrasikan amalan ESG dengan anugerah khas baharu di bawah Program Enterprise 50 tahun ini, iaitu Anugerah E50 Terbaik untuk Amalan ESG.

“Acara ini juga menampilkan sesi bengkel yang memberikan pengetahuan praktikal dalam membangunkan rancangan kelestarian perniagaan dan membimbing peserta dalam penyediaan laporan ESG.

“Bahkan, bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan peserta mengenai amalan ESG dan menggalakkan mereka untuk memulakan perjalanan ESG mereka,” katanya.

Turut hadir dalam majlis pembukaan dialog itu ialah Ketua Setiausaha MECD, Datuk Seri Suriani Ahmad; dan Pengarah Besar Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong/Jakarta, Libera Cheng Ching-mon. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *