BERITA UTAMA
Fitnah TMJ terbabit rasuah, cubaan jatuhkan institusi diraja - Onn Hafiz

Fitnah TMJ terbabit rasuah, cubaan jatuhkan institusi diraja – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Fitnah terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kononnya baginda terbabit rasuah RM20 juta adalah hasutan jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan fitnah tular di aplikasi WhatsApp itu adalah sikap tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.

Katanya, fitnah itu antara lain menuduh Tunku Mahkota Ismail terbabit kes rasuah membabitkan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

“Kerajaan Johor melihat fitnah ini adalah cubaan hasutan jahat dalam menjatuhkan institusi raja dan sikap yang tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.

“Kerajaan negeri memandang serius terhadap perkara ini yang membabitkan institusi raja dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu-isu menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri serta negara,” katanya dipetik laporan Berita Harian dalam kenyataannya hari ini.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri telah membuat laporan polis berkaitan perkara itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terbabit menyebarkan hasutan itu.

“Kerajaan Johor berharap isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan kedaulatan institusi diraja, yang mampu mengancam keharmonian negeri dan negara serta kerukunan masyarakat pelbagai kaum,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *