PETALING JAYA – PAS mengambil langkah mengawal kenyataan pimpinan serta ahlinya susulan perkembangan terkini melibatkan hubungan parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila semua pihak dalam parti diarah supaya tidak mengeluarkan sebarang ulasan tanpa kebenaran rasmi kepimpinan tertinggi.
Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan rasmi yang menegaskan, semua pemimpin, ahli dan penyokong parti diminta untuk tidak membuat kenyataan berkaitan isu semasa melibatkan PAS dan mana-mana pihak lain, termasuk melalui media massa, media sosial atau saluran komunikasi lain.
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi memastikan segala urusan politik dan perbincangan strategik parti dapat dikendalikan secara tersusun tanpa menimbulkan kekeliruan atau spekulasi yang boleh menjejaskan kestabilan gabungan politik sedia ada.
“Semua pimpinan dan ahli parti diminta untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, ulasan atau komen berkaitan perkembangan semasa melibatkan parti tanpa kebenaran khas daripada kepimpinan tertinggi.
“Semua pihak juga diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada tuan guru presiden dan saf kepimpinan parti yang akan menguruskannya dengan penuh cermat dalam masa terdekat,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha PAS meredakan ketegangan yang mula tercetus dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terbuka memberi amaran kepada Bersatu berhubung beberapa isu yang didakwa menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti.
Dalam sidang media sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan menyatakan kesabaran PAS “ada batas” selepas parti itu meneliti satu demi satu tindakan Bersatu yang didakwa tidak selari dengan semangat kerjasama dalam PN.
Beliau turut memberi bayangan PAS kini sedang menilai semula bentuk kerjasama politik dengan Bersatu menjelang pilihan raya akan datang, memandangkan setiap keputusan perlu mengambil kira keuntungan dan kerugian politik kepada parti.
“Kita sedang menilai semua tindakan dan perkembangan yang berlaku kerana pilihan raya semakin hampir. Segala keputusan mesti dibuat dengan mengambil kira kepentingan politik dan masa depan parti,” katanya.
Antara isu dibangkitkan Abdul Hadi ialah tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu di Negeri Sembilan yang menarik sokongan dan didakwa bekerjasama dengan UMNO dalam usaha membentuk kerajaan negeri.
Selain itu, beliau turut menyentuh perkembangan politik di Perlis yang menyaksikan perubahan tampuk pemerintahan kepada Bersatu, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan pimpinan PAS mengenai pembahagian kuasa dan kedudukan parti dalam kerajaan negeri.
Abdul Hadi juga membangkitkan dakwaan campur tangan dalam urusan pelantikan Exco kerajaan negeri di Kedah serta jawatan Timbalan Speaker di Kelantan yang dikatakan memberi kesan kepada hubungan antara parti-parti dalam gabungan PN.
Tidak hanya itu, Presiden PAS berkenaan turut menyentuh pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju dengan usaha membawa masuk beberapa parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam tertentu ke dalam PN bagi memperkukuhkan gabungan tersebut.
Perkembangan itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam arena politik negara mengenai kemungkinan wujudnya ketegangan dalaman yang semakin serius dalam PN ketika gabungan pembangkang itu sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Penganalisis politik melihat arahan “kunci mulut” yang dikeluarkan PAS sebagai langkah strategik bagi mengelakkan kenyataan bercanggah daripada pimpinan parti yang boleh memburukkan lagi hubungan dengan Bersatu atau memberi ruang kepada pihak lawan memanipulasi keadaan.
Malah, tindakan menyerahkan sepenuhnya pengurusan isu tersebut kepada Abdul Hadi menunjukkan PAS mahu memastikan segala keputusan penting berkaitan hubungan dalam PN diputuskan secara berhati-hati di peringkat tertinggi parti.
Walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai perubahan hubungan politik antara PAS dan Bersatu, perkembangan mutakhir ini dilihat memberi gambaran bahawa wujud beberapa isu dalaman yang masih belum diselesaikan sepenuhnya dalam gabungan berkenaan.
Setakat ini, pihak Bersatu belum mengeluarkan kenyataan balas secara rasmi berhubung teguran terbuka yang dibuat oleh Abdul Hadi mahupun arahan terbaharu PAS kepada ahlinya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L