MAIK bantu lima beradik yatim piatu

Pasir Puteh – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turun padang menghulurkan sumbangan kepada lima beradik yatim piatu di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh, semalam.

Sumbangan berbentuk bantuan segera sebanyak RM2,000 dan bantuan bulanan sebanyak RM500 untuk menampung keperluan asas serta perbelanjaan harian mereka itu disampaikan oleh Pegawai Agihan Zakat MAIK, Siti Farahida Fauzi.

Terdahulu, media melaporkan lima beradik terpaksa mengikat perut dengan hanya menjamah nasi dan telur rebus sekali sehari selepas kehilangan ibu dan bapa akibat penyakit kronik.

Anak sulung keluarga itu, Nur Alia Natasha Mohd Fauzi terpaksa memikul tanggungjawab menjaga empat adiknya selepas ibunya, Siri Roziana Muda meninggal dunia Oktober tahun lalu akibat komplikasi paru-paru dan kencing manis.

Bapa mereka pula, Mohd Fauzi Mat Zain meninggal dunia April lalu akibat serangan jantung.

Selain sumbangan tunai, MAIK turut meluluskan permohonan Nur Alia Natasha untuk membaik pulih rumah mereka.

Dalam pada itu, MAIK turut memperkenalkan imam kepada keluarga berkenaan agar menjadi rujukan mereka sekiranya ada keperluan mendesak.

Inisiatif itu bagi membolehkan keperluan keluarga tersebut dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

Pihak MAIK turut berharap sumbangan tersebut dapat membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung Nur Alia Natasha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *