SHAH ALAM – Hasrat seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya tahun depan tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan tragis di Kilometer 34, Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur awal pagi Jumaat.
Mangsa, Adli Hakim Akberdin, 24, meninggal dunia selepas kereta jenis Volkswagen Golf yang dinaikinya bersama tiga rakan dipercayai terbabas sebelum terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori simen pada jam 2.15 pagi.
Nahas itu turut mengorbankan dua lagi rakannya, manakala seorang wanita yang juga teman rapatnya mengalami kecederaan parah dan kini masih menerima rawatan di Hospital Selayang.
Bapa mangsa, Datuk Akberdin Abdul Kader, 62, yang juga seorang peguam terkenal berkata, beliau amat terkesan dengan pemergian anak kelimanya itu lebih-lebih lagi apabila arwah sudah merancang masa depan bersama wanita dikenali sebagai Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27.
Menurutnya, Athirah bukan sekadar kenalan biasa, malah sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri kerana hubungan rapat mereka yang terjalin sejak beberapa tahun lalu.
“Gadis yang cedera parah itu sepatutnya menjadi bakal isteri anak saya. Kami sekeluarga memang sudah merancang agar mereka berkahwin tahun depan kerana hubungan mereka sangat baik dan serius.
“Saya mengenali Athirah dengan sangat dekat kerana dia sering datang ke rumah kami dan berkawan rapat dengan arwah sejak tiga atau empat tahun lalu. Mereka saling memahami antara satu sama lain dan kami semua menerima hubungan itu dengan baik,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada Jumaat.
Dalam nada sebak, Akberdin berkata beliau masih sukar menerima hakikat kehilangan anak yang disifatkannya sebagai seorang yang baik hati, bertanggungjawab serta amat disenangi ahli keluarga dan rakan-rakan.
Katanya, kali terakhir mereka meluangkan masa bersama adalah pada Ahad lalu ketika bercuti sekeluarga di Genting Highlands. Ketika itu, arwah dilihat ceria seperti biasa sebelum meminta izin untuk pulang semula ke kampus bagi meneruskan urusan pengajiannya.
“Tiada sebarang perubahan pelik pada dirinya. Dia seperti biasa, ceria dan sangat menghormati kami sebagai ibu bapa. Kami langsung tidak menyangka pertemuan itu menjadi kenangan terakhir bersama arwah,” katanya.
Akberdin berkata, beliau mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas anak sulungnya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan mangsa yang menaiki sebuah lagi kenderaan dan mengikuti kereta dinaiki Adli Hakim dari belakang ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands.
“Sebaik menerima berita itu, saya bersama anak sulung terus bergegas ke lokasi kejadian. Ketika kami tiba, anggota bomba dan paramedik sedang menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta.
“Situasi ketika itu sangat menyayat hati. Saya hanya mampu berdoa dan berharap ada keajaiban berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, pasukan paramedik kemudian mengesahkan Adli Hakim bersama dua lagi rakannya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami. Athirah Najwa pula ditemukan masih bernafas sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang dalam keadaan kritikal.
Menurut Akberdin, keluarganya kini terus berharap dan mendoakan agar wanita itu diberikan kesembuhan sepenuhnya selepas dimaklumkan bahawa Athirah sudah mula sedar daripada koma dan bertanyakan mengenai kejadian yang menimpa mereka.
“Kami sangat bersyukur dia sudah sedar. Buat masa ini kami hanya mahu dia kembali pulih seperti biasa. Kami juga belum bersedia untuk memberitahu segala yang berlaku secara terperinci kerana bimbang ia akan memberi kesan kepada emosinya,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Adli Hakim selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 3 petang sebelum dibawa ke Masjid Seksyen 7, Shah Alam untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan.
Suasana pilu menyelubungi masjid apabila ratusan ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan rapat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah. Jenazah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 sekitar jam 6.05 petang.
Lebih 200 individu hadir memberi penghormatan terakhir termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay yang turut meluangkan masa bersama keluarga mangsa.
Pemergian Adli Hakim bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya, malah turut dirasai rakan-rakan serta kenalan yang mengenalinya sebagai seorang individu berakhlak baik, mudah mesra dan sentiasa menghormati orang sekeliling.
Top of Form
Bottom of Form
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L