KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyerahkan memorandum bantahan berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat Blackrock kepada tiga pihak berkepentingan hari ini.
Memorandum pertama diserahkan pada jam 10 pagi ini kepada wakil Ketua Pegawai Eksekutif MAHB di Kuala Lumpur International Airport (KLIA), diikuti memorandum kedua di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada jam 11.30 pagi dan ketiga kepada Khazanah Nasional Berhad jam 3.30 petang.
Menurut Naib Presiden Putra, Datuk Asmawar Samat, memorandum di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya diterima oleh Pengarah Bahagian Ekonomi dan Kewangan, Abu Zeid Mohd Arif, manakala Khazanah Nasional Berhad diwakili Naib Presiden Kanan, Tadbir Urus, Risiko & Pematuhan, Dr. Esma Nizam Abdul Samad.
Katanya, pada 17 Mei lalu, seorang menteri DAP, Anthony Loke telah mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan bahawa Khazanah Nasional Berhad akan menjual 30 peratus daripada saham MAHB kepada sebuah syarikat pro-zionis.
Jelas beliau, ini bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, yang juga Pengerusi Khazanah Nasional, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersungguh hendak menjual saham itu kepada GIP Blackrock.
“Ini merupakan salah satu daripada banyak bukti kerajaan yang berkuasa sekarang telah gagal sepenuhnya untuk memenuhi tanggungjawab fidusiari yang telah diamanahkan kepada pemimpin kita dalam mengendalikan nasib dan masa depan rakyat.
“Ianya ternyata bertentangan dengan amalan pentadbiran murni atau yang sering disebut sebagai ‘tatakelola’ nyanyian PMX dalam setiap ucapan beliau.
“Oleh itu, Putra dengan tegas menyatakan penentangan kami terhadap cadangan untuk menjual saham MAHB oleh kerajaan Malaysia melalui Khazanah Nasional kepada syarikat pro-xionis, iaitu GIP Blackrock,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Penyerahan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri diserahkan oleh Asmawar, manakala kepada MAHB oleh Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif dan ADT Putra, Nur Amani Ibrahim.
Penyerahan ke Pejabat Khazanah Nasional Berhad pula dibuat oleh Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hasan; Naib Ketua Wiranita, Juita Mustafa dan Ketua Wirawati, Nurhafizah Jamalludin.
Turut hadir bersama, barisan ADT Putra, Lokman Hakim Abdul Halim, Setiausaha Putra Wilayah Persekutuan, Amir Johan; Exco Wira Putra, Mohd Fahkri; Exco Wirawati, Nur Zahreen dan AJK Wira Putra Bahagian Hulu Selangor, Mohd Zikri.
Menurut Asmawar, antara sebab mengapa Putra menentang cadangan penjualan itu kerana berlaku tindakan kejam pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Mei tahun lalu.
Ujar beliau, sekiranya alasan itu tidak cukup kuat bagi kerajaan untuk menghentikan jualan saham MAHB kepada GIP Blackrock, maka rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bertanya kepada kepimpinan kerajaan hari ini dan keharusan mereka memimpin negara.
Katanya, selain MAHB (30 peratus), Blackrock juga turut memiliki saham Tenaga Nasional Berhad (7.35 peratus), CIMB Group (9.57 peratus), Maybank (11 peratus) dan Public Bank (12 peratus).
“Sejumlah 30 peratus saham pegangan itu bermakna GIP Blackrock akan menjadi salah satu pemegang saham utama MAHB. Dengan itu mereka boleh menjadi salah satu ahli terkemuka dalam Lembaga Pengarah MAHB.
“Ini bermakna GIP Blackrock akan mempunyai pengaruh besar dalam proses merencana keputusan berhubung semua isu penting MAHB di masa hadapan dan perlu disebut pada masa ini, pemegang saham terbesar MAHB mempunyai 40 peratus daripada saham syarikat itu.
“Dari segi strategik, ia memerlukan satu atau lebih pemilik saham lain untuk menjual hanya 11 peratus daripada saham mereka kepada GIP Blackrock, dan mereka boleh menjadi pemegang saham terbesar MAHB,” katanya.
Kata Asmawar, MAHB adalah syarikat yang menguntungkan dan tidak pernah mencatat kerugian.
Pada tahun 2022, MAHB mencatatkan keuntungan sebanyak RM187.2 juta, manakala tahun 2023, keuntungan syarikat itu bertambah tiga kali ganda kepada RM543.2 juta.
“Oleh itu, membenarkan GIP Blackrock memperolehi pegangan 30 peratus saham dalam MAHB sama sekali tidak mempunyai asas kebijaksanaan dalam perniagaan. Seandainya mengalami kerugian sekalipun, kita tidak perlu menjual kepada entiti asing yang pro-zionis.
“Mengatakan mengapa kita tidak boleh jual 30 peratus daripada saham MAHB kepada GIP Blackrock hanya kerana syarikat itu sebelum ini telah membeli saham syarikat Malaysia lain yang majoriti mereka tidak melebihi tiga peratus adalah seperti berkata, mereka telah merompak sebuah rumah sebelum ini, jadi mengapa tidak biarkan mereka merompak seluruh kampung?
“Garis pertimbangan dan cara berfikir seperti ini adalah satu penghinaan terhadap kecerdasan pemikiran rakyat Malaysia,” ujar beliau. – NasionalDaily