BERITA UTAMA
Gugur pelaburan BlackRock beri kesan negatif pada agenda pelaburan negara?

Gugur pelaburan BlackRock beri kesan negatif pada agenda pelaburan negara?

KUALA LUMPUR: Penguguran pelaburan BlackRock daripada Malaysia dijangka mendatangkan implikasi dan kesan negatif kepada usaha merealisasikan agenda pelaburan negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagaimanapun ia tidak menjejaskan perdagangan Malaysia dengan negara-negara lain, jika kerajaan mengambil pendirian untuk tidak membenarkan pelaburan dengan syarikat tersebut.

“Isu itu tak berbangkit kerana tidak ada polisi atau dasar yang kita menghalang syarikat-syarikat seperti BlackRock, Vanguard atau mana-mana syarikat lain yang ada kepentingan dalam syarikat-syarikat global ini atau pun kepentingan dalam syarikat-syarikat yang tersenarai.

“Kita tak ada penglibatan atau polisi yang menghalangi mereka buat masa ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai kesan dari segi perdagangan kepada negara lain, jika Malaysia tidak membenarkan BlackRock melabur di negara ini.

Sementara itu, menjawab soalan asal Guan Eng berhubung jumlah pelaburan BlackRock atau syarikat yang ada kaitan dengannya di Malaysia, Tengku Zafrul berkata, BlackRock merupakan pengurusan aset terbesar di dunia dengan nilai RM49.35 trilion atau AS$10.5 trilion, setakat 31 Mac 2024.

Jelas beliau, syarikat itu memegang saham dalam hampir semua syarikat tersenarai awam di dunia dan dana-dana berdaulat seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Indonesia.

Kata Tengku Zafrul, syarikat itu telah berada di Malaysia sejak 1990-an dan memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai Malaysia merangkumi sektor industri dengan tiga entiti terbesar merupakan institusi perbankan.

“Secara keseluruhan mereka memiliki aset bernilai sekitar RM27.5 bilion di Malaysia iaitu RM20.5 bilion dalam pasaran saham di Bursa Malaysia; dan sekitar RM7.0 bilion dalam Bon kerajaan dan korporat di Malaysia

“Berdasarkan semakan, antara pelaburan BlackRock di dalam pasaran bon terbitan kerajaan adalah seperti berikut: Malaysia Sukuk Global Berhad; Export-Import Bank of Malaysia Berhad; Malaysia Wakala Sukuk Berhad; Petroliam Nasional Berhad; dan Malaysia Sovereign Sukuk Berhad,” ujar Tengku Zafrul lagi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *