BERITA UTAMA

Titah murka Sultan Selangor gambarkan kekecewaan peminat bola sepak

KUALA LUMPUR – Titah murka Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah atas keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap Selangor FC menggambarkan kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap MFL yang seolah hilang sifat kemanusiaan, timbang rasa serta melampaui batas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai badan mentadbir liga bola sepak, MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain bola sepak negara.

Malah, katanya, keganasan jenayah yang berlaku terhadap tonggak bola sepak Selangor, Faisal Halim merupakan titik hitam dalam sejarah bola sepak negara.

Sehubungan itu, mewakili kerajaan negeri, Amirudin menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah yang murka atas keputusan yang dibuat MFL terhadap Selangor FC.

“Titah Tuanku Sultan Selangor dizahirkan setelah tindakan MFL yang bukan sahaja mengenakan denda RM100,000 kepada Selangor FC, tetapi menambah hukuman dengan memaksa perlawanan di Selangor diadakan tanpa penonton,” kata beliau.

Tambahnya, MFL juga bertindak menambah beban Selangor FC dengan mengenakan denda pemotongan tiga mata pada masa pasukan JDT sudah menerima kemenangan percuma dalam Piala Sumbangsih.

Terdahulu, MFL mengenakan empat tuduhan terhadap Selangor FC susulan tindakan pasukan itu ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor 10 Mei lalu.

Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 (wang) itu akan disalurkan kepada badan kebajikan yang akan didputuskan kelak/

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *