SEREMBAN – Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengemuka maklumat palsu pada borang tuntutan bayaran hartanah.
Tertuduh, Mohammed Hafiz Baharudin, 48, yang dikenali dengan gelaran Tok Merah dan Hazlin Suraya Halim, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama sebagai pengarah syarikat Red Hot Builders Sdn Bhd melakukan pemalsuan kepada enam borang JPPH/T/11/A dengan memasukkan penyataan palsu pada borang itu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.
Kesalahan itu dilakukan di antara 17 September 2019 hingga 3 Julai 2020 bertempat di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Seremban.
Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM10,000 kepada setiap tertuduh.
Kedua-dua tertuduh dalam rayuan mereka memaklumkan sebagai pengarah syarikat mereka tiada niat untuk menipu dan hanya mengetahui mengenai kes berkenaan pada Sabtu lalu.
Mereka yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan serta memberikan tempoh dua bulan untuk melantik peguam.
Mahkamah kemudiannya, menetapkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Seremban pada Sabtu pertama setiap bulan.
Mereka turut dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan sebutan semula kes pada 24 Julai ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252