Wira Putra kecewa UMNO sokong penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-Israel

Wira Putra kecewa UMNO sokong penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-Israel

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengucapkan tahniah kepada pejuang UMNO kerana akhirnya segala dibangunkan mereka untuk kaum peribumi dan orang Melayu selama ini lebur dan bakal menjadi milik orang.

Lebih dahsyat lagi menurut Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, ia bakal dikuasai syarikat bersekongkol dengan regim Israel yang membunuh warga Palestin tidak berdosa.

Tegas beliau, pendirian UMNO seperti diumum Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam, membuktikan ia bukan lagi parti boleh diharap untuk memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

“UMNO dengan kerjasama PH kini tak layak dipilih untuk mentadbir negara. Semua bangsa tanpa mengira kaum patut sedar masa depan negara sedang digadai.

“Malaysia kini dilihat tidak lagi berpendirian dan takut kepada negara kuasa besar dengan alasan untuk memperkukuh ekonomi.

“Walaupun dahulu majoriti pemimpin Melayu mentadbir negara, tetapi kepentingan rakyat dan keselamatan negara tidak digadai dengan mudah apabila rakyat menolak. Hari ini, hujah rakyat tidak lagi diendah, pandangan rakyat juga di kesampingkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nasrul Ali Hasan, dahulu Wira Putra beranggapan UMNO boleh jadi pengimbang kepada sebarang tekanan dan keputusan kerajaan Madani, tetapi pandangan itu meleset apabila Presidennya berpendirian menyokong penjualan saham MAHB kepada GIP iaitu syarikat milik Blackrock.

“Apa lagi boleh diharapkan kepada pemimpin kerajaan daripada UMNO kalau berada di dalam pun hanya jadi pak turut sahaja. UMNO yang dikenali sebagai pejuang kepada ABATA kini tidak lagi relevan.

“Nak harap jaga agama? Blackrock yang secara terang-terang terlibat dengan genosid dan pembunuh saudara seislam di Palestin pun boleh diperlecehkan.

“Nak harap jaga bangsa Melayu dan peribumi? Tak henti-henti di bibir mulut menjulang perpaduan mengikut naratif minority, sedangkan peribumi semakin hilang suara. Agensi dan anak syarikat yang dahulunya membawa manfaat kepada rakyat terbanyak kini digadai dan tenggelam mengikut kehendak politik rakus Perdana Menteri,” ujar beliau.

Beliau juga berkata, pembelian saham MAHB oleh Blackrock jelas menunjukkan ancaman besar terhadap masa depan tanah air berbanding keuntungan ekonomi kepada rakyat bagi jangka pendek.

Katanya, Wira Putra tetap menyokong pendirian Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dan menolak penjualan saham MAHB kepada Blackrock.

“Parti Putra tidak akan bersetuju sebarang agenda yang mengancam kepentingan dan keselamatan agama, bangsa dan negara,” katanya. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / wasap 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *