BERITA UTAMA
Saham MAHB: Anwar perjelas kenapa pilih GIP

Saham MAHB: Anwar perjelas kenapa pilih GIP

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) telah melalui syarat yang ketat.

Perdana Menteri berkata apabila pertimbangan pengurusan dibuka, kira-kira 145 syarikat berminat tetapi hanya lima yang layak.

“Syarat ditetapkan oleh Khazanah ketat yang tidak dipersetujui oleh kebanyakannya.

“Pertama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) rakyat Malaysia. Kedua, majoriti pegangan Malaysia.

“Namun, syarikat lain yang berminat ini baik Singapura dan lain-lain, dia nak hak mengurus. Maknanya CEO dalam kalangan rakyatnya atau dia yang tentukan. Syarat ini tidak diterima. Jadi, itu sebabnya mengapa GIP diambil,” katanya sewaktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengapa GIP dibawa masuk bagi membantu MAHB yang merupakan sebuah syarikat berdaya saing.

Wan Ahmad Fayhsal turut bertanyakan mengapa MAHB tidak memilih rakan yang lain.

Mengulas mengenai perkara itu, Anwar (PH-Tambun) berkata adalah sukar untuk mana-mana syarikat asing mahu bekerjasama jika mereka tidak menguasai majoriti pegangan saham, pengurusan atau menjadi Pengerusi dan CEO.

“Semua itu tidak menerima syarat yang kita kenakan yang agak ketat terutamanya dari segi penguasaan majoriti saham.

“Kita tidak beri kerana kita masih kekalkan 70 peratus syarikat Malaysia, Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,” tambahnya.

Anwar turut mempersoalkan mengapa pelaburan BlackRock dalam MAHB menjadi isu ketika ini, sedangkan penglibatan syarikat itu sudah berlaku sejak 2021.

Ia termasuk pemilihan BlackRock oleh KWSP sebagai salah satu pengurus dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan AS$600 juta (RM2.5 bilion).

“Kalau soal BlackRock dibangkit tadi kerana ambil GIP, soalnya kenapa tak fikir pada 2021? Itu boleh pula tetapi sekarang tak boleh. Pada 2021, BlackRock (mempunyai) agenda yang sama.. ini masalah. Hukum itu berubah mengikut keadaan,” kata Anwar.

Menteri Kewangan itu turut menjelaskan, BlackRock mempunyai kepentingan dalam Pasaran Bursa berjumlah RM20.5 bilion, dengan sekitar RM7 bilion dalam bon kerajaan dan syarikat korporat Malaysia. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *