FRANKFURT, Jerman – Jaringan Niclas Fullkrug pada masa kecederaan babak kedua untuk meraih keputusan seri 1-1 buat Jerman menentang Switzerland pada Euro 2024 diraikan secara menggila oleh rakan sepasukannya, yang masing-masing menerima bonus 50,000 euro (kira-kira RM293,000) kerana menjuarai kumpulan mereka, lapor media Jerman semalam.
Tuan rumah ketinggalan berdepan Switzerland pada perlawanan terakhir Kumpulan A awal pagi tadi, keputusan yang akan menyaksikan Switzerland muncul juara kumpulan dan Jerman berakhir di tangga kedua.
Namun tandukan kencang Fullkrug mengubah kedudukan itu sekali gus meraih bonus lumayan dengan banyak lagi menanti mereka.
Beberapa media yang rapat dengan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) melaporkan pemain tidak akan menerima sebarang bonus jika mereka layak sebagai naib juara kumpulan.
Mereka kini bersedia untuk menerima bonus 100,000 euro (kira-kira RM506,000) jika mereka menang aksi pusingan 16 terakhir, 150,000 euro (RM759,000) lagi jika layak ke separuh akhir dan 250,000 euro (RM1.26 juta) sekiranya mara ke final.
Bagaimanapun, Fullkrug, yang menjaringkan 13 gol dalam 19 penampilan sejak membuat kemunculan sulung antarabangsa pada usia 29 tahun, lebih suka jika mereka menang kejohanan itu – dengan masing-masing akan menerima bonus 400,000 euro (RM2.02 juta), menurut laporan itu. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252