Garis Kemiskinan Makanan Sabah Perlu Realistik, Ambil Kira Cabaran Pedalaman

KOTA KINABALU – Kaedah penentuan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan di Sabah perlu diteliti semula bagi memastikan pengukuran kemiskinan lebih tepat dan mencerminkan realiti kehidupan, budaya serta corak pemakanan masyarakat tempatan terutama di kawasan pedalaman.

Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai berkata kaedah pengukuran sedia ada perlu mengambil kira keunikan masyarakat Sabah yang mempunyai keperluan dan amalan pemakanan berbeza berbanding penduduk di Semenanjung.

Beliau berkata PGK makanan Sabah ketika ini hampir menyamai Kuala Lumpur dan Selangor, namun senarai barangan makanan yang digunakan dalam pengiraan itu tidak semestinya menggambarkan corak penggunaan sebenar penduduk negeri berkenaan.

“Realitinya, bila saya tengok senarai PGK makanan yang harus dibeli ataupun dipilih orang Sabah disamakan dengan apa yang ada di Semenanjung terutama Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya kepada Bernama.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Rosmadi berkata antara contoh ketidakselarasan itu ialah pengambilan daging dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Sabah, selain hasil laut seperti ketam, udang dan kerang yang menjadi sebahagian daripada makanan utama penduduk di kawasan pesisir pantai serta sayur-sayuran tempatan seperti tuhau (halia liar) dan lembiding (tumbuhan paku-pakis) yang tidak disenaraikan dalam komponen makanan dirujuk.

Beliau berkata perbezaan itu boleh mempengaruhi pengiraan kos keperluan makanan dan seterusnya penentuan jumlah penduduk miskin, sambil memberikan gambaran bahawa lebih 55,000 penduduk yang dikategorikan sebagai miskin mutlak di Sabah boleh berubah kepada kategori B40 sekiranya PGK makanan Perlis digunakan sebagai ukuran.

Dalam pada itu, Rosmadi berkata kerajaan negeri menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 berhasrat mengurangkan kadar kemiskinan Sabah daripada 17.7 peratus pada 2024 kepada sekitar tiga hingga lima peratus menjelang 2030 dengan memberi tumpuan kepada lima keutamaan iaitu perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan serta keusahawanan dan latihan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sabah Khairolnizam Hassan berkata pihaknya mengambil maklum pandangan Rosmadi mengenai keperluan meneliti semula kaedah penentuan PGK makanan, khususnya jenis makanan utama masyarakat tempatan dan akan memperhalusi cadangan itu bagi menambah baik kaedah pengiraan sedia ada.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Beliau menjelaskan pengiraan PGK makanan dibuat berdasarkan keperluan kalori yang ditetapkan mengikut panduan Kementerian Kesihatan serta corak perbelanjaan isi rumah berpendapatan terendah, manakala perbezaan harga makanan dan saiz isi rumah antara negeri turut mempengaruhi nilai PGK masing-masing.

Beliau berkata PGK makanan Sabah yang hampir menyamai Selangor dan Kuala Lumpur dipengaruhi harga makanan yang lebih tinggi berbanding dengan beberapa negeri lain, selain purata saiz isi rumah di Sabah yang dianggarkan antara 4.5 hingga lima orang, sekali gus meningkatkan keperluan perbelanjaan makanan sesebuah keluarga.

Khairolnizam berkata berdasarkan statistik kemiskinan mutlak 2024, sembilan daripada 10 daerah yang merekodkan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia terletak di Sabah, iaitu Pitas, Tongod, Kota Marudu, Kudat, Beluran, Membakut, Kinabatangan, Kalabakan dan Kota Belud, manakala sebuah lagi daerah ialah Daro di Sarawak.

Beliau berkata pengelasan kemiskinan itu dibuat berdasarkan PGK yang ditetapkan mengikut negeri dengan nilai PGK keseluruhan Sabah sebanyak RM2,873 sebulan, dan isi rumah yang berpendapatan di bawah paras berkenaan dikategorikan sebagai miskin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar turut menyokong cadangan supaya kaedah pengukuran kemiskinan di Sabah diteliti semula dengan mengambil kira faktor geografi, kos logistik dan kesukaran akses penduduk, khususnya di kawasan pedalaman.

Beliau berkata pendekatan seperti Market Basket Measure (MBM) yang digunakan di Kanada boleh dijadikan rujukan kerana mengambil kira perbezaan kos logistik dan harga barangan di kawasan terpencil dalam menentukan garis kemiskinan.

“Pendekatan Scottish Index of Multiple Deprivation (SIMD) di Scotland juga wajar dikaji kerana mengambil kira pelbagai faktor sosioekonomi dan kedudukan geografi, termasuk masa perjalanan penduduk untuk mendapatkan akses kepada kemudahan dan perkhidmatan,” katanya.

Naim berkata perkara itu amat penting memandangkan keluasan kawasan Parlimen Kinabatangan serta kedudukan kampung berjauhan menimbulkan cabaran tersendiri kepada penduduk, sambil menyifatkan kedudukan Kinabatangan dan Tongod, dua daerah di bawah kawasan Parlimennya tersenarai antara daerah termiskin di Malaysia sebagai sesuatu yang mendukacitakan dan memerlukan tindakan segera.

Beliau berkata usaha meningkatkan pendapatan penduduk perlu diberikan perhatian melalui pembangunan sektor pertanian dan industri hiliran termasuk pemprosesan kayu, selain memanfaatkan pelan strategik pembangunan Kinabatangan yang dirangka menerusi kerjasama dengan Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). – BERNAMA

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *