BERITA UTAMA
Isu MAHB: Jangan biarkan frima pelaburan pro-Israel bertapak di Malaysia

Isu MAHB: Jangan biarkan firma pelaburan pro-Israel bertapak di Malaysia

KUALA LUMPUR – Kebimbangan rakyat berhubung isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat pro-Israel, BlackRock ada asasnya.

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, di bawah pelan diumumkan kerajaan persekutuan bulan lalu, Global Infrastructure Partners (GIP) dimiliki BlackRock dilaporkan berpotensi memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Katanya, beliau dimaklumkan ini adalah kali pertama GIP berminat untuk terlibat dalam pengurusan aset lapangan terbang di Asia.

“Umum tahu terdapat dakwaan BlackRock terlibat dalam memperkasakan jentera perang Israel dan ibu pejabatnya di New York menjadi sasaran penunjuk perasaan pro-Palestin yang menuduh syarikat itu mengaut keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai.

“Saya amat risau dengan perkembangan ini atas beberapa faktor. Pertamanya, penglibatan GIP dalam syarikat milik negara ini adalah tidak selari dan bercanggah dengan pendirian rasmi kerajaan persekutuan dan rakyat yang membantah tindakan kejam rejim zionis terhadap Palestin sejak beberapa bulan lepas.

“Apatah lagi, sehingga sekarang kita masih menerima berita pembantaian terhadap rakyat Palestin masih berlangsung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, kata Muhammad Ismi, tindakan membenarkan firma pelaburan antarabangsa yang sangat menyokong Israel seperti Blackrock untuk mula bertapak di negara ini adalah langkah kurang cermat.

Tegas beliau, tindakan itu akan membuka peluang kepada firma pelaburan antarabangsa lain yang juga penyokong Israel untuk meneroka pasaran di Malaysia dan seterusnya mendedahkan negara ini kepada potensi ancaman kestabilan ekonomi memandangkan Malaysia adalah penyokong Palestin sejak dahulu. 

“Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan persekutuan membincangkan semula mengenai isu ini dalam peringkat mesyuarat Kabinet dengan teliti dan mengambil kira sensitiviti bukan sahaja rakyat Malaysia, namun penganut agama Islam di seluruh dunia.

“Saya juga berpendapat masih ada ratusan firma pelaburan antarabangsa lain yang boleh diberi peluang untuk memegang 30 peratus kepentingan dalam konsortium bagi menguruskan MAHB selain dari Blackrock.

“Saya menyeru kerajaan konsisten dan tegas dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin termasuk dari segi memastikan negara kita tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak yang hubungan mesra dengan Israel,” katanya. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *