Bab Satu Siri 2
KEHEBATAN kerajaan-kerajaan Melayu awal telah diakui oleh sejarah dunia. Kehebatan Srivijaya, Majapahit, Melaka, Acheh dan lain-lain lagi telah diketahui umum. Banyak histriograpi dan penulisan sejarah mengenainya telah dihasilkan.
Namun, bagi kerajaan-kerajaan Melayu di utara Tanah Melayu, iaitu di Segenting Kra, penceritaannya hampir dilupakan. Ini menjadi lebih parah lagi apabila kerajaan-kerajaan itu telah lenyap ditelan zaman dan nama asalnya telah digantikan dengan nama-nama baharu dalam bahasa lain, akibat penaklukan ke atasnya sejak berkurun-kurun yang lalu.
Kini wilayah menjadi sebahagian daripada negara asing. Antara kerajaan itu termasuk Langkasuka, Singgora dan Pattani. Kebanyakan kerajaan ini muncul pada kurun-kurun yang awal sebelum kemunculan kerajaan-kerajaan hebat di bahagian selatan Tanah Melayu. Catatan mengenai mereka banyak terdapat hikayat-hikayat lama ataupun catatan-catatan pengembara dunia ke rantau ini seperti China dan Arab. Catatan tempatan mengenainya terkubur tanpa nisan atau terbenam dalam perpustakaan dan arkib antarabangsa.
Seorang pengembara yang terkenal, Ibn Battutah telah menyatakan hal tersebut. Di dalam kitabnya, Tuhfat al-Nazhar, beliau menyebut selama mengelilingi dunia hanya ada tujuh orang raja yang memiliki kelebihan luar biasa, iaitu Raja Iraq yang berbudi bahasa, Raja Hindustan sangat peramah, Raja Rom sangat pemaaf, Raja Turkistan bersifat tolak ansur dan Raja Melayu Malik Al-Zahir, Samudera, yang berilmu pengetahuan luas dan amat pemurah.
Kota Grahi, Jawaka terletak di bahagian paling utara Segenting Kra. Di sinilah tempat asal Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I. Baginda merupakan puteri kepada Raja Sang Tawal, Maharaja Grahi yang ketiga (1267-1335). Kota Grahi (yang kini terletak di Surat Thani, Thailand) merupakan kota Hindu/Buddha dan digelar Pamalayur (Melayu).
Adruja dikatakan seorang daripada dua raja yang ditemui oleh Ibn Battutah dalam perjalanannya ke ceruk rantau dunia Islam, selain Malik Al-Zahir. Adruja (disebut Urduja oleh Ibn Battutah) ialah seorang puteri raja yang sentiasa bertempur dengan musuhnya Sukhotai (Ibn Battutah menyebutnya bangsa China).
Kesan-kesan peninggalan sejarah masih terdapat di Kota Grahi, Surat Thani, yang merupakan bukti wujudnya sebuah kerajaan yang besar pada suatu ketika dahulu dan terkenal sebagai kota Hindu/Buddha.
Empayar Langkasuka, dikatakan wujud sejak kurun kedua sehingga kurun ke-16. Kerajaan ini disebut sebagai Lang-ya-hsiu atau Lang-shu dalam catatan China sehingga akhir tahun 1300. Sumber Arab pula menyebutnya sebagai Lang Shuka dan sumber India pula menyebutnya sebagai Ilangasoka yang bermakna “tidak gentar dalam pertempuran sengit”.
Dalam sumber Jawa, Negarakartagama, pula menyebutnya sebagai satu kawasan yang terletak dalam Pahang yang terbahagi bahagian pantai barat dan pantai timur. Hikayat Merong Mahawangsa pula telah menyebutkan bahawa rajanya telah membina sebuah istana dan balai yang sangat cantik yang dinamakan Langkasuka.
Walau apapun sumbernya, Langkasuka memang telah wujud sebagai sebuah kerajaan yang besar dan terkenal di peringkat antarabangsa. Ini kerana melalui perdagangan yang dihasilkan oleh Langkasuka seperti kayu cendana yang terbaik dan sangat harum, sangat diperlukan oleh dunia.
Kehidupan Awal Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I
Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I, mempunyai enam saudara kandung, iaitu dua lelaki dan empat perempuan. Mereka ialah Raja Bharubhasa, Raja Singhadiraja, Puteri Chandana, Tapasi dan Puteri Linang Cahaya. Oleh kerana Adruja memiliki sifat keperibadian yang tegas, garang dan digeruni oleh pihak musuh, rakyat Grahi telah menggelar Puteri Melayu ini sebagai “Dewi Durga”.
Adruja merupakan keturunan Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa, Maharaja Srivijaya (Melayu Palembang-Jambi) daripada Dinasti Mauli. Menurut Sejarah Melayu (Sulatus Salatin), nama sebenar Maharaja tersebut ialah Demang Lebar Daun.
Nama Adruja Wijayamala Singha berasal daripada bahasa sanskrit. “Adruja” ialah kependekan bagi sebutan “adhi raja” yang bermaksud raja yang besar, mulia, tinggi darjatnya, yang utama, yang terbaik dan pemuka pasukan perang. “Wijayamala” pula merujuk kepada sejenis bunga sakti (sejenis seroja yang dikatakan dapat menghidupkan orang mati, manakala “Singha” pula merupakan satu variasi bagi sebutan “simha” yang bermaksud singa, raja segala haiwan.
Adruja dilahirkan sewaktu Kota Grahi, Jawaka, Langkasuka sedang menghadapi ancaman perang daripada kerajaan Siam Sukhothai yang diperintah oleh Rama Khamhaeng. Raja ini mahu meluaskan tanah jajahannya ke arah selatan (Segenting Kra) dan pada tahun 1294, baginda telah berada di Phetchaburi untuk menyerang kawasan selatan.
Usaha ini memang cuba dihalang oleh nenda Adruja yang bernama Raja Sakranta atau Raja Aminuddin (1253-1267). Namun, pihak Siam memang tidak mempedulikan pertahanan itu. Serangan itu terus dilakukan tanpa mengira siapa pemerintahnya. Kerajaan ini kini dipegang oleh ayahanda Adruja, yang bernama Raja Sang Tawal (Sultan Muhammad).
Sejak kanak-kanak, Adruja pandai menunggang kuda dan bermain senjata seperti kelewang. Meskipun perilakunya menyerupai lelaki, namun Adruja amat menyukai wangian seperti kayu cendana yang telah dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur.
Ini adalah satu kesukaan khas yang menunjukkan bahawa Adruja masih ada sifat kewanitaannya. Setelah umurnya mencecah belasan tahun, Adruja sentiasa menjadi pembantu ayahandanya di medan perang.
Puteri itu biasanya dibenarkan membawa bendera Langkasuka ketika Sang Raja Tawal pergi berperang dengan tentera Siam Sukhothai. Pengalaman berada di medan perang telah membantu Adruja membiasakan diri dengan selok belok peperangan dan ketangkasan seperti seorang lelaki dalam menyerang musuh.
Setelah perang berakhir, Adruja membantu membalut luka dan memberikan minuman kepada tentera Langkasuka yang tercedera. Melihatkan keadaan tentera Langkasuka yang kurang semangat juang serta rakyatnya yang sentiasa berundur, maka tergeraklah di hati puteri tersebut untuk membentuk satu pasukan pejuang berani mati yang terdiri daripada kaum wanita.
Selain untuk membantu kaum lelaki di medan perang, tujuan pasukan khas wanita ditubuhkan untuk membela nasib kaum wanita Melayu yang sering diperkosa oleh tentera Siam Sukhothai, tatkala mereka menyerang kampung-kampung yang jauh dari Kota Grahi.
Selain itu, Adruja juga mahu membuktikan bahawa kaum wanita juga setanding dengan kaum lelaki walaupun di medan perang. Cadangan Adruja untuk membentuk satu pasukan khas wanita telah diusulkan kepada ayahandanya, Raja Sang Tawal.
Pada mulanya Raja Sang Tawal enggan memperkenankan cadangan itu kerana bimbang akan keselamatan puterinya. Raja Sang Tawal cuba mencadangkan puterinya supaya berkahwin. Namun, sang puteri telah memberikan syarat yang jelas; dia ingin bertaruh dengan lelaki tersebut.
Kalau lelaki itu menang, dia akan berkahwin dengannya. Raja Sang Tawal mengikut sahaja kehendak anaknya. Baginda berubah fikiran setelah mengenangkan tindakan puteri kesayangannya itu yang pernah beberapa kali mempertahankan bendera kerajaan ketika di medan perang. – NasionalDaily
BERSAMBUNG
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252