BERITA UTAMA
4 nelayan masih hilang, bot terbalik di perairan Batu Pahat

4 nelayan masih hilang, bot terbalik di perairan Batu Pahat

BATU PAHAT – Empat nelayan masih hilang manakala seorang ditemui selamat selepas bot dinaiki mereka terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, di sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi, bot dinaiki lima nelayan tempatan berusia antara 43 hingga 63 tahun dikatakan terbalik akibat dipukul ombak besar.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Mohd Hanis Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam memaklumkan bahawa terdapat bot nelayan tempatan tenggelam di perairan terbabit.

“Maritim menerusi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) semua mangsa.

“Maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dinaiki oleh lima orang kru keluar ke laut untuk memukat ikan. Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam.

“Sejurus menerima maklumat itu, MRSC Johor Bahru mengaktifkan Op CARILAMAT pada 9 pagi dan Bot Penggalang 30 dari Zon Maritim Batu Pahat diatur gerak ke lokasi kejadian,” katanya dipetik Berita Harian.

Sebaik tiba di lokasi, beliau berkata, pihaknya mendapati bot nelayan itu kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya.

“Seorang mangsa berusia 43 tahun ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan.

“Operasi pencarian diperluaskan dengan penambahan radius kawasan kepada 23 batu nautika persegi,” katanya.

Selain Maritim Malaysia, operasi itu juga dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *