Bab Satu Siri 1
Latar Belakang Sejarah Keturunan
DALAM sejarah lampau, peranan wanita sebagai pemimpin jarang sekali ditonjolkan. Mereka hanya dilihat sebagai pelengkap istana dan masyarakat, di samping untuk melahirkan zuriat menyambung kehidupan dan kelangsungan manusia di muka bumi ini. Mereka kerap tersorok dan terpinggir dalam sejarah dan tamadun manusia.
Nama di atas merupakan antara ribuan puteri yang lahir di istana, Namun, antara mereka terdapat beberapa nama yang berjaya mencipta sejarahnya dan legendanya yang tersendiri untuk menjadi kajian dan tatapan generasi selepasnya. Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang atau Adruja Wijayamala Singha atau Dewi Durga adalah seorang daripadanya.
Menurut Christopher Buyers dalam Geneology Raja-Raja Kelantan, seorang daripada puteri Raja Sakranta, Raja Jawaka (1253-1267) ialah Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang atau Raden Galuh Gemerencheng, yang menjadi Raja Kelantan Selatan pada tahun 1318-1348. Penulis ini (Christopher Buyers) tidak memberi nama lain kerana Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang ialah seorang Islam.
Tulisan Nisriwani Yahaya. Syed Zulflida S. M. Noor, 101 Puteri Dunia Melayu Sejarah dan Legenda, pula mengatakan bahawa Adruja Wijayamala Singha ialah seorang wirawati ulung bangsa Melayu dari Langkasuka. Adruja juga dikenal sebagai Dewi Durga.
Menurut kepercayaan Hindu, Dewi Durga ialah dewi yang paling garang, isteri dewa Siva, yang biasanya digambarkan sedang menunggang seekor harimau atau singa dan membunuh raksasa kerbau dengan lapan atau 10 tangannya. Konsep ini digunakan kerana Adruja Wijayamala Singha, puteri Langkasuka itu pernah beragama Hindu sebelum memeluk Islam.
Sumber ini menyebut Adruja Wijayamala Singha ialah anak Raja Sang Tawal, Maharaja Grahi, Jawaka dan Langkasuka (1267-1335). Raja Sang Tawal (Sultan Muhamad), menggantikan Raja Sakranta dan mempunyai enam anak, yang mempunyai nama yang sama seperti yang disebut oleh Christopher Buyers, kecuali nama Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Dalam sumber ini, puteri hebat itu disebut sebagai Adruja Wijayamala Singha.
Satu perkara lain yang agak berbeza antara kedua-dua sumber ini ialah nama raja dan masa pemerintahannya. Menurut Christopher Buyers, Raja Sakranta ialah Maharaja Jawaka yang mempunyai enam anak, iaitu dua putera dan empat puteri. Tetapi menurut Nisriwani dan rakannya, Raja Sakranta ialah bapa kepada Sang Raja Tawal.
Baginda mempunyai enam cahaya mata, iaitu dua putera dan empat puteri. Antara nama puteri itu disebut sebagai Adruja Wijayamala Singha. Tarikh pemerintahan Sang Raja Tawal ialah 1267-1335. Daripada pandangan sumber ini, jelas bahawa Adruja Wijayamala Singha ialah anak Raja Sang Tawal.
Tulisan Christopher Buyers melahirkan satu pertanyaan besar. Perbezaan masa pemerintahan antara Raja Sakranta dan Raja Sang tawal ialah 18 tahun. Ternyata ada waktu selama 18 tahun negeri Jawaka, Langkasuka tidak mempunyai pemerintah. Mungkinkah terdapat seorang pemerintah lain yang memegang tampuk pemerintahan sebelum Raja Sang Tawal.
Mungkinkah juga, Raja Sang Tawal ialah cucu kepada Raja Sakranta, bukan anaknya? Mungkin raja itu pemerintah yang tidak dapat direkodkan? Ternyata ada lompang atau kekosongan pemerintahan yang jelas, iaitu selama 18 tahun.
Terdapat satu isu mengenai pemerintahan Raja Sakranta dengan pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Menurut Christopher Buyers, pemerintahan Raja Sakranta ialah pada tahun 1267-1307 dan pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang sebagai Raja Kelantan Selatan pada tahun 1310-1345. Perbezaan mereka ialah tiga tahun sebelum Raja Sakranta meninggal dunia. Ini menyebabkan dakwaan Christopher Buyers bahawa Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang ialah anak kepada Raja Sakranta lebih munasabah. Namun, menurut Nisriwani dan rakannya, Raja Sang Tawal memerintah pada tahun 1267-1335, lebih sesuai kerana pemerintahan itu tidak terputus selama 18 tahun. Mungkin tidak ada pemerintah dalam masa yang begitu lama. Raja Sang Tawal juga ialah ayah kepada Abdruja Wijayamala Singha atau dipanggil oleh Christopher Buyers sebagai Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.
Raja Sang Tawal dan kerajaannya berpindah ke selatan, iaitu Phattalung dan kemudian ke Singgora (sekarang selatan Thailand).
Satu perkara yang juga patut diberikan perhatian ialah lawatan Ibnu Battutah ke Kuala Krai dan berjumpa Adruja atau disebutnya Udruja. Menurut Nisriwani dan rakannya, Ibnu Battutah dalam catatannya bertajuk Rihlah Ibn Battutah, telah tiba dalam pemerintahan Adruja, seorang pemerintah wanita yang sentiasa bertempur dengan musuhnya Sukhotai.
Penulis ini mengaku bahawa orang Filipina telah “mencuri” Adruja sebagai wirawati dan mengagungkannya sebagai idola para pemuda dan pemudi negaranya.
Namun, dalam tulisan Izzah Siryani binti Mat Resad@Arshad, yang bertajuk Asia Tenggara dan Negeri China Dalam Catatan Ibn Battutah, dalam Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam, mengatakan bahawa Ibn Battutah dalam perjalanannya ke China, telah singgah di sebuah pelabuhan yang bernama Qaqalah, dekat dengan negeri Kelantan.
Rajanya kafir, tetapi sangat mesra menyambut tetamu. Baginda sendiri duduk di atas tanah, sedangkan tetamu dibentangkan tikar. Kotanya diperbuat dengan ukiran batu dan pintu kotanya boleh dilalui tiga gajah. Gajah merupakan kenderaan utama penduduk di situ kerana setiap rumah akan terdapat seekor gajah ditambat di tiang rumah.
Rakyatnya sangat setia kepada rajanya sehingga ada seorang lelaki sanggup menyembelih dirinya di hadapan raja sebagai tanda penghormatan kepada rajanya. Sumber ini tidak menyebut mengenai Adruja.
Menurut sumber ini, selepas Ibn Battutah singgah di sebuah kawasan yang luas dan cantik bernama Tawalisi, iaitu Kepulauan Sulu. Rajanya bernama Tawalisi. Penduduknya masih menyembah berhala dan mereka mempunyai paras yang cantik, mirip wajah orang Turki. Wanita kawasan ini pandai menunggang kuda serta mahir menggunakan panah. Mereka berperang bersama-sama kaum lelaki.
Ibn Battutah juga singgah di sebuah pelabuhan yang bernama Kilukri, yang dikatakan oleh penulis terletak di Pulau Jolo, pulau terbesar di Kepulauan Sulu. Bandarnya cantik, Gabenornya bernama Adruja, seorang wanita yang sangat jelita dan anak raja negeri tersebut. Puteri raja tersebut pandai berbahasa Turki dan menulis dalam bahasa Arab.
Namun, Nisriwani Yahaya dan rakannya dalam tulisannya, 101 Puteri Dunia Melayu Sejarah dan Legenda, mengatakan Kilukri itu ialah Kuala Krai, Kelantan, tempat bersemayamnya Adruja Wijayamala Singha/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I, yang ditemui oleh Ibn Battutah. Begitu juga beberapa penulis lain seperti Sa’ad Shukri Muda, dalam Detik-detik Sejarah Kelantan.
Menurut Siri Neng Buah, seorang tokoh budaya Kelantan, penghormatan kepada Adruja/Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I itu tidak dimuliakan kerana puteri itu beragama Buddha/Hindu. Sebaliknya, Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang II, pemerintah Kelantan ke-10 (1610-1677), yang lebih ditonjolkan dalam penceritaan sejarah negeri Kelantan sehingga kini.
Maka penceritaan mengenai Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I / Adruja Wijayamala Singha / Dewi Durga telah ditutup. Buku ini ingin meletakkan Raja Perempuan Kelantan yang pertama, iaitu Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I / Adruja Wijayamala Singha / Dewi Durga ini pada kedudukan yang sewajarnya supaya masyarakat hari ini tidak akan melupakan.
Kedudukannya sebagai satu-satunya Raja Perempuan Kelantan yang pernah memerintah, patut menjadi inspirasi dan kebanggaan generasi hari ini.
Ternyata terdapat perbezaan pada sumber-sumber yang dirujuk. Sikap berhati-hati perlu ada dalam penggunaan sumber-sumber ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.
Bagaimanapun, sumber-sumber yang didapati pada masa kini mengenai pemerintahan Kelantan Jawaka, Langkasuka dan Kelantan terpaksa digunakan sebagai latar belakang penceritaan “Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Merentas Zaman”. Namun, keadaan yang mengelirukan itu patutlah disedari. Mungkin pada masa hadapan akan lahir penyelidikan-penyelidikan yang dapat mencerahkan kekeliruan ini. – NasionalDaily
BERSAMBUNG…
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252