KUANTAN – Dakwaan sebuah media kononnya dua ahli Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) ditahan kerana meneroka dan menceroboh tanah kerajaan negeri adalah tidak benar dan mengelirukan.
Pengerusinya, Datuk Seri Suhairi Ab. Kadir dalam maklum balasnya mendakwa, wujud salah faham antara anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dengan dua kakitangan PPNP pada hari kejadian semalam.
Bagaimanapun, katanya, sebuah media telah menyiarkan secara melulu menuduh dua kakitangan PPNP ditahan, tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak berautoriti.
“Justeru, maklumat terkandung dalam laporan media berkenaan yang memetik kenyataan Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang itu tidak benar dan mengelirukan, malah membuat andaian sebelah pihak sahaja.
“Saya mengesahkan, memang wujud dokumen urusan antara PPNP dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan (PDTK) berkaitan permohonan pengeluaran hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah kerajaan yang diceroboh.
“Tetapi, penanaman kelapa sawit itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak sekian lama dan PPNP telah mengenal pasti identiti dalangnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, sebuah media melaporkan, dua individu dipercayai dari PPNP yang menyamar sebagai badan berkanun kerajaan Pahang telah ditahan dalam satu operasi di Kampung Kawah, dekat sini, kelmarin.
Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Saifullah Muhammad Ali dilaporkan berkata, PPNP itu disyaki telah meneroka secara haram itu dan turut mendakwa seolah mempunyai kuasa daripada kerajaan negeri untuk mengaburi pihak kontraktor dan operator.
Mengulas lanjut, Suhairi berkata, menyedari di peringkat awal berlaku pencerobohan, pihaknya telah menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan dan siasatan.
“Kita akan bekerjasama memerangi isu pencerobohan tanah yang menyebabkan berlaku ketirisan hasil negara yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat serta pembangunan negeri.
Beliau menjelaskan, ketika petugas PPNP iaitu jurukur tanah dan konsultan masuk ke kawasan untuk meninjau, mengenal pasti dan menanda pokok sawit yang ditanam secara haram bagi penyediaan kertas kerja, anggota UPNP datang dan menyatakan pihaknya menerima laporan menceroboh tanah kerajaan.
“Sedangkan, sebelum ini PPNP telah diberikan notis mengosongkan kawasan tersebut dan mengalihkan struktur binaan pagar berkunci serta pondok pekerja di atas kawasan berkenaan dalam tempoh 14 hari yang akan berakhir esok, 21 Jun.
“Sebaliknya, apa yang berlaku hari ini, petugas PPNP itu diarah mengosongkan kawasan berkenaan serta merta dan diminta hadir ke pejabat UPNP untuk diambil keterangan. Mereka tidak ditahan.
“Anggota UPNP juga mengambil sebuah jentera yang disewa PPNP untuk mengalihkan pagar berkunci dan struktur binaan pondok pekerja kami sebagai bukti. Ini tindakan salah kerana PPNP mempunyai notis yang masih sah sehingga esok (21 Jun),” katanya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252