PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan hasrat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjual 30 peratus sahamnya kepada firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.
Mantan Perdana Menteri itu menjelaskan, persoalan itu berbangkit kerana pada tahun 2023 MAHB telah memperoleh keuntungan yang sangat tinggi iaitu RM543 juta.
“Apabila saya dengar MAHB akan jual sahamnya, sangkaan saya MAHB rugi. Kenapa nak jual 30 peratus kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel?
“Sekarang saya dapat tahu MAHB untung sebanyak RM543 juta bagi tahun 2023. Tak banyak syarikat yang dapat untung seperti ini,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock memiliki pegangan dalam MAHB.
Beliau turut menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa, keputusan dibuat oleh pihak pengurusan MAHB mempunyai agenda yang tersendiri.
“Saya tak faham. Mungkin juga ada udang di sebalik batu?” katanya lagi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252