Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Merentas Zaman

Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Merentas Zaman

MULAI esok, 20 Jun 2024, Nasionaldaily.com akan menyiarkan secara bersiri kandungan buku yang mengisahkan mengenai sejarah yang hampir dilupakan iaitu Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.

Ia mengisarkan kisah cerita Cik Siti Wan Kembang (CSWK) dari abad ke-13 hingga abad ke-21 masa kini.

Buku bertajuk “Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Merentas Zaman – Pewaris akhir ilmu dan pemegang amanah Hang Tuah” ini ditulis dengan begitu teliti, rapi dan kajian oleh Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam yang merupakan Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Memandangkan buku ini tebal dengan 278 muka surat termasuk gambar, pihak Editorial terpaksa siarkan artikel yang agak panjang dalam setiap siri. Walaupun begitu, penceritaannya tidak membosankan, malah pembaca dan peminat sejarah akan tertunggu-tunggu kemunculan siri-siri seterusnya. Selama membaca.

Kata Pengantar Penulis

BUKU ini telah dihasilkan dengan harapan yang tinggi menggunung. Niat Ikhlas yang terpahat di dada adalah untuk melahirkan suatu penceritaan tentang masa silam yang menjadi kerangka dan teras tamadun bangsa.

Bangsa Melayu yang telah membina tamadunnya sejak kurun pertama dengan kelahiran Funan di Kemboja, seperti yang dilaporkan oleh I Thing, seorang pengembara Cina, ialah sebuah kerajaan yang hebat dan kaya tamadunnya.

Kemunculan kerajaan Campa dan kerajaan-kerajaan lain selepas itu, telah menjadi warna-warna sejarah yang tercatat dalam lipatan sejarah; ada juga yang terus tenggelam tanpa ada kajian tentangnya. Dengan itu, adalah sangat penting kisah-kisah silam itu dikaji dan dibina semula bagi pengetahuan generasi hari ini.

Dunia terus berubah dan berkembang. Namun, kisah masa lepas juga mempunyai peranan penting sebagai cermin dan kayu ukur kehebatan sesebuah bangsa. Tanpa pengetahuan yang baik terhadap masa silam bangsanya, seseorang manusia itu akan menjadi insan yang tidak ada akar umbi dan sekali gus tidak memiliki identiti bangsanya.

Manusia itu mungkin menjadi orang asing kepada budaya dan tamadun bangsanya. Yang lebih malang lagi apabila mereka sendiri memandang rendah kepada budaya bangsanya. Perasaan partiotisme dan jati diri bangsanya tidak akan tercermin dalam tindak tanduknya. Mereka akan menjadi penderhaka dan pembelot bangsa dan negaranya.

Maka, menjadi harapan penulis untuk melihat buku ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua. Diharap buku ini menjadi sumber inspirasi dan kebanggaan bangsa. Warisan yang ditinggalkan oleh sejarah silam akan terus luput jika tidak dihargai oleh generasi hari ini.

Usaha ini hanya secebis daripada usaha yang berat itu. Walaupun mungkin ada pihak yang kurang bersetuju dengan pendapat dan pandangan atau penceritaan di dalam buku ini, namun ini adalah satu usaha yang cuba merakamkan kompleksiti kehidupan itu sendiri.

Fikiran logikal mungkin tidak dapat menerimanya, namun kuasa Allah SWT, dengan izin-Nya, sejarah itu telah berlaku dan menjadi kebenaran kepada sesetengah pihak. Sebagai perakam sejarah yang berlaku, buku ini mempamerkannya secara tidak berlebihan akan data-data tersebut. Penulisannya juga telah dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Gabungan sejarah lama dan pengalaman baharu yang digabungkan supaya ada pertalian yang jelas. Kisah lama Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dengan (Dr) Fadzilah bintin Hussin sebagai pewaris akhir ilmu dan ilmu dan keturunannya telah memperlihatkan dukalara seorang wanita yang gigih, tabah dan bersemangat juang yang tinggi dan tidak pernah mengenal erti berputus asa serta beliau sendiri sedar dan akui sifat semula jadi, kesedihan, kegembiraan, kesetiaan, kecurangan, kesakitan, baik dan buruk akan diuji dan telahpun teruji ilmu dan perkahwinan selama 13 tahun.

Ujian hidup setelah ketiadaan suami memberikannya lebih kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini dengan bersendirian. Sifat ketegasan dan maruah yang tinggi sebagai seorang wanita yang bersemangat waja sentiasa menghiasi setiap zaman yang dilalui oleh seorang wanita seperti itu. Inilah intipati “Ceritera Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Merentas Zaman”. – NasionalDaily

Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam adalah Ketua Penasihat Utama Pertubuhan Datuan Seri Setia Wijaya Mala Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dan juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *