Kante memukau kemudi jentera tengah Les Bleus

Kante memukau kemudi jentera tengah Les Bleus

DUESSELDORF, Jerman – Ramai terkejut apabila Perancis memanggil semula N’Golo Kante selepas dua tahun tidak beraksi di peringkat antarabangsa tetapi jurulatih Didier Deschamps tahu apa yang dilakukannya dan pemain tengah itu kelihatan seperti tidak pernah disisihkan ketika menang 1-0 ke atas Austria pada Euro 2024 awal pagi tadi.

Sebelum panggilan itu, perlawanan terakhir Kante buat negaranya adalah pada Jun 2022 ketika dia terlepas aksi Piala Dunia kerana kecederaan hamstring.

Perpindahan ke Liga Pro Saudi kelihatan menamatkan kariernya bersama Perancis tetapi pemain berusia 33 tahun itu bertindak cemerlang pada aksi Kumpulan D awal pagi tadi, membuktikan bermain di liga tahap lebih rendah tidak menjejaskan prestasinya.

Kante mempamerkan kehebatannya dengan menguasai segenap penjuru padang, bekerja tanpa lelah untuk mengekang Austria dalam tempoh yang lama dan masih cergas untuk menyokong serangan Perancis pada lewat permainan dengan keupayaannya membuat hantaran tepat.

“Persembahannya? Anda sudah saksikannya,” kata Deschamps.

Pemain tengah Perancis, N’Golo Kante bergambar bersama trofi pemain terbaik perlawanan selepas aksi menentang Austria pada Euro 2024 di Duesseldorf Arena, Duesseldorf awal pagi tadi. – Foto AFP

“Kami yakin untuk memanggilnya. Dia seorang yang pintar – dari segi tahap teknikal dia mempunyai keupayaan untuk membaca gerakan bola dan meletakkan dirinya di tempat yang tepat. Dia terlalu cemerlang malam ini dan kami perlukannya.”

Seperti biasa Kante lebih suka merendah diri selepas dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan dan apabila Kylian Mbappe dikeluarkan kerana disyaki patah hidung pada perlawanan itu, Kante diberikan lilitan lengan kapten buat kali pertama.

“Saya tidak jangkakannya, ia satu penghormatan walaupun hanya beberapa minit,” katanya.

“Saya agak bimbang pada awal perlawanan tetapi saya menikmati perasaan itu sekali lagi. Kami mahu menyukarkan Austria dan saya percaya, ia berjalan dengan baik.”

Kante berkata dia tidak pernah berasakan prestasinya akan merudum dengan beraksi dalam liga Saudi.

“Tahap jangkaan sangat tinggi di sana,” katanya. “Saya sentiasa memberikan yang terbaik di sana dan hanya mahu melakukan perkara yang sama di sini.” – REUTERS

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *