Mbappe akan pakai topeng muka - FFF

Mbappe akan pakai topeng muka – FFF

DUESSELDORF, Jerman – Kapten Perancis, Kylian Mbappe mengalami patah hidung pada lewat aksi kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Austria pada Euro 2024 awal pagi tadi, menurut Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) yang mengesahkannya selepas perlawanan.

Pemain berusia 25 tahun itu, satu daripada nama terbesar dalam kejohanan itu, mengalami kecederaan apabila dia tertonyoh hidungnya ke bahu pertahanan Austria, Kevin Danso ketika cuba melakukan tandukan.

Dia digantikan pada hujung perlawanan dan meninggalkan stadium dengan ambulans untuk menjalani ujian X-ray.

“Kylian Mbappe mengalami patah hidung ketika babak kedua aksi Austria bertemu Perancis pada Isnin di Duesseldorf,” menurut satu kenyataan FFF.

“Kapten pasukan Perancis pada mulanya dirawat staf perubatan dan doktor Franck Le Gall, yang mengesahkan hidungnya patah. Diagnosis disahkan semasa pemeriksaan radiologi di hospital Duesseldorf.

“Mbappe sudah kembali ke hotel penginapan pasukan Perancis. Dia akan menjalani rawatan dalam beberapa hari akan datang, tanpa perlu menjalani pembedahan segera.”

Perancis berdepan Belanda awal pagi Sabtu ini dan Mbappe kini diragui boleh beraksi pada perlawanan itu – satu tamparan besar buat Les Bleus.

“Topeng muka akan dibuat bagi membolehkan pemain nombor 10 Perancis dipertimbangkan untuk terus beraksi dalam kejohanan ini selepas tempoh yang dikhaskan untuk rawatan,” kata FFF. – REUTERS

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *