Nenek, cucu sesat di Bukit Buluh Telur ditemukan selamat

Nenek, cucu sesat di Bukit Buluh Telur ditemukan selamat

KUALA LUMPUR – Seorang nenek bersama cucu perempuannya yang dilaporkan hilang dipercayai tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, ditemukan dalam keadaan selamat.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, warga emas berusia 62 tahun itu ditemukan bersama cucunya berusia 12 tahun pada jam 9.30 pagi ini.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan jam 8 pagi tadi dan anggota telah sampai di ‘çheckpoint’ pertama.

“Selepas itu, bomba menerima maklumat daripada waris mangsa menyatakan mangsa telah dikesan melalui panggilan telefon.

“Anggota mengambil masa kurang satu jam perjalanan untuk sampai ke kepada mangsa dari lokasi ‘checkpoint‘ pertama dan menemui mereka dalam keadaan selamat pada jam 9.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Semalam, JBPM Selangor melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa selepas menerima laporan berhubung kehilangan warga emas dan cucunya itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.12 petang dan sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi.

“Menurut laporan awal, kedua-dua mangsa dipercayai pergi ke kebun durian mereka sebelum wanita warga emas berkenaan menghubungi anak sulungnya kira-kira jam 12 tengah hari tadi untuk memaklumkan tersesat.

“Anak mangsa kemudian membuat laporan kehilangan ahli keluarganya pada jam 3 petang,” kata beliau. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *