KKM digesa beri rawatan segera kepada penuntut politeknik hidap leukemia

KKM digesa beri rawatan segera kepada penuntut politeknik hidap leukemia

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) digesa supaya memberi rawatan terbaik kepada penuntut cemerlang Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, Perak, Muhammad Farhan Misron @ Misni, 20, yang disahkan menghidap leukemia pada 28 Mei lalu.

Penuntut semester empat Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) itu bakal menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Ampang.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, pelajar itu ditempatkan di hospital terbabit bagi memudahkan pakar perubatan melakukan penilaian semula (reassessment) dari segi keadaan dan rawatan lanjut yang perlu dilaluinya.

“Ada pesakit secara mata kasar dilihat sihat boleh berjalan, tetapi di dalamnya dia sedang menjalani satu penyakit yang kritikal perlu dirawat segera. Perkara ini perlu dilihat oleh pihak hospital, supaya urusan rawatan Muhammad Farhan dipermudahkan.

“Insya-Allah, dengan bantuan yang diberikan akan memudahkan dia mendapat akses rawatan yang sepatutnya.

“Saya difahamkan pihak hospital akan merujuk kepada laporan rawatan Muhammad Farhan di dua hospital sebelum ini, sebelum dia menjalani rawatan kemoterapi,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Imran difaham turut menemani pelajar berkenaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Ampang, Isnin lalu.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan awal khususnya dari segi kos rawatan.

Terdahulu, media melaporkan penyakit berbahaya itu dikesan selepas Muhammad Farhan ditemui rebah ketika hendak menunaikan solat Subuh dan muntah menyebabkan dia terpaksa menangguhkan pengajiannya buat sementara waktu.

Bapanya, Misron @ Misni Mijan, 47, dilaporkan berkata kehidupan mereka sekeluarga berubah sekelip mata apabila dimaklumkan kos rawatan anak lelakinya di peringkat awal mencecah RM 200,000.

Untuk rekod, Muhammad Farhan bersama Pasukan Robotik Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) mempamerkan prestasi cemerlang pada Kejohanan RoboWorld FIRA 2023 di Jerman tahun lalu, apabila berjaya memenangi enam pingat sekali gus melepasi sasaran awal lima pingat itu

POLYCC yang diwakili enam peserta dari PSAS dan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) meraih masing-masing dua pingat emas, perak dan gangsa.

Pasukan PSIS menyumbang satu pingat emas melalui acara ‘Tripple Jump’, pingat perak bagi acara ‘Archery’ dan gangsa bagi acara ‘Lift & Carry’.

Manakala pasukan PSAS pula meraih pingat emas melalui ‘Lift & Carry’, acara ‘Basketball’ (perak) dan acara ‘Archery’ (gangsa).

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Muhammad Farhan boleh menyalurkannya melalui akaun Public Bank (6808659634), Bank Simpanan Nasional (1014141100013798) dan Hong Leong Bank (10751031249) atas nama Misron @ Misni Mijan atau menghubunginya di talian 016-251 1257. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *