KUALA LUMPUR – Keluarga kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan membuat laporan polis berhubung penyebaran kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak itu di media sosial.
Peguam yang mewakili keluarga berkenaan, Fahmi Abd Moin berkata, penyebaran maklumat berkenaan adalah fitnah jenayah.
“Pihak keluarga mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat berkenaan.
“Penyebaran itu lebih kepada fitnah jenayah,” katanya memetik Harian Metro hari ini.
Terdahulu, Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya sedemikian adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.
Berikutan itu, katanya pihaknya akan menghubungi MCMC bagi menyekat penyebaran maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autisme itu.
Semalam, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252