BERITA UTAMA

`Jangan mempolitikkan program taklimat kewarganegaraan’

KUALA LUMPUR – Program taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang dianjurkan mana-mana pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak wajar dipolitikkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata isu status kewarganegaraan bukanlah isu baharu, sebaliknya ia juga turut berlaku sewaktu beliau menjadi wakil rakyat.

“Saya pernah menjadi wakil rakyat beberapa penggal dan banyak pusat khidmat DUN tidak kiralah kerajaan atau pembangkang menerima permintaan daripada rakyat berkaitan permohonan kewarganegaraan.

“Antaranya melibatkan anak luar nikah, anak angkat, anak lahir luar negara atau ibu bapa berkahwin di luar negara.

“Justeru, janganlah ini (isu kewarganegaraan) dikalutkan sehingga menuduh satu gerakan tersusun untuk memberi warganegara secara borong,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penganjuran program taklimat dan penerangan kewarganegaraan dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng yang dijadualkan pada 30 Jun depan ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.

ADUN Stulang dilaporkan berkata, taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab lain tetapi penganjuran program itu menimbulkan salah faham ramai susulan penularan posternya.

Terdahulu, poster program berkenaan tular media sosial mendapat kecaman dan disifatkan sebagai acara bagi memberi pendatang asing di negeri ini taraf kewarganegaraan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, semua pihak wajar memberi ruang kepada wakil rakyat untuk menjalankan tugas sesuai dengan tujuan mereka dilantik termasuk menyelesaikan isu kewarganegaraan.

“Malah, pagi ini, saya menerima mesej daripada Ahli Parlimen di Kelantan yang menerima banyak aduan mengenai masalah kewarganegaraan.

“Ini kerana kawasannya berdekatan dengan Siam (sempadan Thailand), banyak kes kahwin dengan warga tempatan. Jadi apabila wakil rakyat menganjurkan program seumpama ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata yang jernih,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *