BERITA UTAMA
Hizbullah lancar serangan baharu ke atas Israel

Hizbullah lancar serangan baharu ke atas Israel

BEIRUT – Kumpulan pejuang Hizbullah Lubnan yang disokong Iran melepaskan roket dan dron ke arah tentera Israel semalam, selepas serangan rejim zionis membunuh seorang komander kanannya.

Serangan itu berlaku selepas berbulan-bulan tembakan rentas sempadan yang hampir meletus setiap hari antara kumpulan itu dan tentera Israel sejak serangan Hamas, sekutu Hizbullah pada 7 Oktober ke atas Israel mencetuskan perang Gaza.

Pejuang Hizbullah melancarkan ‘serangan dengan roket dan dron dengan menyasarkan enam berek dan pangkalan tentera’ sambil melakukan tindakan serentak menerbangkan ‘skuadron dron yang sarat bahan letupan’ di tiga pangkalan Israel yang lain, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Antara satu sasarannya ialah pangkalan Israel yang dikatakan Hizbullah menempatkan ibu pejabat perisikan ‘yang bertanggungjawab atas pembunuhan itu’.

Hizbullah yang mengumumkan lebih banyak serangan pada sebelah petang, berkata, serangan itu ‘sebahagian daripada tindak balas terhadap pembunuhan’ komandernya, Taleb Abdallah pada Selasa lalu.

Sementara itu, tentera Israel berkata, kira-kira 40 peluru dilancarkan ke arah kawasan Galilee dan Golan Heights pada sebelah petang, sambil menambah sebahagian besar berjaya dipintas, manakala yang lain mencetuskan letupan.

Dalam satu serangan berhampiran perkampungan sempadan Manara, menurut tentera, seorang tentera IDF cedera sederhana dan seorang lagi cedera ringan.

Israel berkata, pihaknya akan bertindak balas dengan tegas terhadap semua serangan Hizbullah.

“Israel akan bertindak balas dengan kekerasan terhadap semua pencerobohan oleh Hizbullah,” kata jurucakap kerajaan David Mencer pada taklimat media.

Beliau juga berikrar ‘memulihkan keselamatan di sempadan utaranya’.

Agensi Berita Nasional Lubnan kemudiannya melaporkan pesawat perang Israel melancarkan serbuan yang menyasarkan sebuah rumah di bandar Janata, mengakibatkan seorang awam terbunuh dan mencederakan tujuh yang lain.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, serangan rentas sempadan meningkat, dengan Hizbullah meningkatkan penggunaan dron untuk menyerang kedudukan tentera Israel dan Israel membalas dengan serangan yang disasarkan terhadap Hizbullah.

Rabu lalu, pegawai tertinggi Hizbullah, Hashem Safieddine berikrar kumpulan itu akan ‘meningkatkan intensiti, kekuatan, kuantiti dan kualiti serangannya, katanya selepas pengebumian Abdallah.

Tentera Israel mengesahkan pihaknya melakukan serangan yang ‘menghapuskan’ Abdallah pada Selasa, menyifatkan beliau sebagai seorang komander paling kanan Hizbullah di selatan Lubnan.

Sementara itu, sumber tentera Lubnan berkata Abdallah adalah komander Hizbullah yang ‘paling penting’ sejak permulaan perang.

Keganasan rentas sempadan membunuh sekurang-kurangnya 468 orang di Lubnan, kebanyakannya pejuang tetapi juga termasuk 89 orang awam, menurut pengiraan AFP.

Menurut pihak berkuasa Israel pula, sekurang-kurangnya 15 tentera Israel dan 11 orang awam terbunuh.

Menangani situasi perang sepanjang sempadan, semalam, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, ketika sidang kemuncak G7 di Itali, berkata negaranya, Amerika Syarikat dan Israel akan bekerjasama bagi meredakan ketegangan di kawasan itu.

Ini kerana sebelum ini Perancis melakukan usaha diplomatik untuk membendung perang sempadan sejak Januari lalu.

Macron berkata, ketiga-tiga negara itu akan bergerak ke hadapan mengikut pelan hala tuju seperti dicadangkan.

“Kami akan melakukan perkara sama dengan pihak berkuasa Lubnan,” katanya.

Sementara itu, menurut pegawai Lubnan, cadangan Perancis itu membabitkan usaha untuk menghentikan serangan ke atas kedua-dua pihak dan kumpulan Hizbullah perlu berundur 10 kilometer dari sempadan.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *