BERITA UTAMA
Anwar mahu PDRM bertindak tegas terhadap pesalah rasuah

Anwar mahu polis bertindak tegas terhadap pesalah rasuah

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara tidak mungkin akan selamat sekiranya tiada tindakan profesional serta tegas diambil terhadap sebarang salah laku atau rasuah.

Oleh itu, Perdana Menteri mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas mengikut fakta yang jelas terhadap penjenayah dan pesalah rasuah tanpa mengira status demi menegakkan keadilan.

Anwar berkata, ramai dalam kalangan rakyat resah dan mengeluh apabila siasatan kes jenayah dan rasuah mengambil masa yang lama, namun rakyat juga harus faham langkah itu bagi memastikan siasatan dapat dilakukan dengan adil tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Saya tidak mahu jadi Perdana Menteri tetapi melindungi penjenayah atau perasuah. Jadi pastikan tindakan itu profesional, adil dan tidak menghukum sebelum ada fakta dan lihat kepada sudut undang-undang.

“Saya singgung perkara ini secara langsung dalam majlis ini kerana yang menjadi mangsa juga adalah ahli sukan yang giat dalam olahraga. Jadi jaminan itu penting supaya ada perasaan semua rakyat, baik ahli sukan ataupun penjawat awam bahawa ada tindakan tegas,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *