LOS ANGELES – Sejak disahkan mengalami sindrom orang kaku atau ‘stiff person syndrome’ (SPS) pada Disember 2022, ikon pop Celine Dion mengasingkan diri daripada perhatian umum.
Segala usaha sebaliknya tertumpu kepada mencari penawar mengatasi masalah yang dihadapinya itu.
Namun, selepas muncul di pentas Anugerah Grammy bagi menyampaikan trofi kepada Taylor Swift, Februari lalu, Celine makin cenderung berkongsi perjalanannya melawan SPS dan kepayahan dilalui lebih setahun lalu.
“Saya tidak bersedia berkongsi apa-apa sebelum ini, tetapi, sekarang sudah bersedia,” katanya dipetik daripada sedutan atau treler dokumentari I Am: Celine Dion yang akan disiarkan mulai 25 Jun ini di platform penstriman Prime Video.
Diarah pemenang trofi Anugerah Akademi (Oscar), Irene Taylor, dokumentari itu berkisar kehidupan Dion yang berubah secara drastik akibat SPS.
SPS yang dialami seorang dalam sejuta tidak mempunyai penawar. Keadaan ini menyebabkan otot tidak dapat dikawal hingga mengganggu percakapan dan berdepan masalah kekejangan.
Penghidap juga lebih sensitif kepada bunyi dan cahaya, selain tekanan emosi.
Dion memberitahu penyampai NBC, Hoda Kotb, SPS menghalang keupayaannya untuk menjalankan tugas harian, malah dalam suatu insiden, mematahkan tulang rusuknya.
Kotb menceritakan apa yang dilalui Dion yang tidak pernah dikongsi sebelum ini.
“Apabila Dion memasak, jari dan tangannya akan berada dalam kedudukan seperti, anda tidak boleh bergerak. Rasanya seperti seseorang mencekik anda.
“Ia seperti berjuang untuk hidup. Dia berjuang melaluinya. Dia memikirkan sama ada dia boleh kembali atau tidak,” katanya.
Ketika Dion yang popular dengan lagu My Heart Will Go On mendapat tahu dirinya mengalami SPS, dia sedang membuat persiapan menyambung siri jelajah dunia, Courage World Tour pada 2019.
Namun, siri jelajah itu terganggu pada Mac 2020 berikutan pandemik Covid-19. Selepas mengumumkan penangguhan, Dion membatalkan siri jelajah itu pada Mei tahun lalu.
“Saya minta maaf kerana mengecewakan anda. Saya bekerja keras untuk membina semula kekuatan saya.
“Namun, siri jelajah ini boleh menjadi sangat sukar, walaupun anda beri 100 peratus.
“Adalah tidak adil untuk terus menangguhkan persembahan. Walaupun ia melukakan hati saya, lebih baik kita batalkan segala-galanya sekarang hingga saya benar-benar bersedia untuk kembali ke pentas semula.
“Saya mahu anda semua tahu, saya tidak berputus asa,” katanya.
Pemenang Grammy sebanyak lima kali itu memberitahu media, Vogue France pada April lalu bahawa dia menjalani terapi fizikal dan vokal, lima hari dalam seminggu.
“Ia sukar, saya bekerja keras dan esok akan menjadi lebih sukar, tetapi ada satu perkara yang tidak akan pernah berhenti dan itulah kemahuan. Ia adalah keghairahan dan impian… Ia adalah keazaman,” katanya. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252