BERITA UTAMA
34 penuntut UTHM timba ilmu kejuruteraan dengan ProEight

34 penuntut UTHM timba ilmu kejuruteraan dengan ProEight

RAWANG – Seramai 34 penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menimba pengalaman baharu bagi melengkapkan pengajian mereka dengan mengunjungi syarikat kejuruteraan berkaitan minyak dan gas, ProEight Sdn. Bhd. (ProEight).

Rombongan yang diiringi tiga pengiring UTHM, Ts. Dr. Mohamad Farid Sies, Ts. Mohd Faizal Esa dan Tc. Ahmad Fitri Mastor merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Operasi Loji Minyak dan Gas dengan Kepujian (BDG) dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).

Lawatan sambil belajar ke ibupejabat ProEight Manufacturing and Refurbishment Centre (MRC), Rawang itu disambut pegawai Kumpulan Komunikasi Korporat, Pentadbiran dan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) syarikat.

Mereka diberikan taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ProEight, Ir. Azhar Zainal Abidin; Ketua Pegawai Operasi, Effei Ramli; bersama dua Jurutera Aplikasi, Faiz Rosly dan Khairi Raoh.

Dalam taklimat itu, kumpulan penuntut dan pengiring diberi penerangan mengenai latar belakang ProEight, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan serta rekod prestasi dan pencapaian syarikat selama bertapak dalam industri pembuatan mechanical seals khas untuk kegunaan industri minyak dan gas.

Selain itu, mereka juga diberi penerangan mengenai kajian kes berdasarkan kejayaan projek dengan syarikat-syarikat ternama.

Mereka turut dibawa melawat kilang pemprosesan pelbagai produk mekanikal ProEight yang berkaitan dengan teknologi pam serta mendapat perkongsian daripada jurutera berpengalaman mengenai bagaimana syarikat dapat menyelesaikan masalah pasir dalam mesin berkenaan.

Rata-rata penuntut yang ditemui berpuas hati dengan lawatan mereka ke syarikat kejuruteraan ProEight kerana perkhidmatan disediakan itu sangat berkait rapat dengan bidang pengajian dan membantu mereka lebih terbuka dengan industri pembuatan produk mekanikal khas untuk kegunaan industri minyak dan gas. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *