BERITA UTAMA
Saksikan Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, peluang menangi Honda City

Saksikan Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, peluang menangi Honda City

KLANG – Piala Sultan Selangor (TSSC) yang dijadual berlangsung 17 Ogos ini menawarkan hadiah utama cabutan bertuah sebuah Honda City.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC, Tan Sri Abd. Karim Munisar mengajak peminat bola sepak tanah air merebut peluang itu dengan menyaksikan perlawanan berkenaan di Stadium Merdeka.

“Terima kasih kepada syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah Kumpulan Tanjung Balai sudi menaja sebuah Honda City sebagai hadiah cabutan bertuah utama untuk tiga tahun berturut-turut.

“Penonton juga berpeluang mendapat cabutan bertuah penginapan empat hari tiga malam di Marriott Kota Kinabalu dan Noble Resort Hotel Melaka yang ditaja oleh syarikat Aerofront City Development,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian cek sumbangan Piala Sultan Selangor 2024 dan jamuan teh di Istana Alam Shah Klang, di sini, semalam.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima cek cura TSSC 2024 bernilai RM1 juta sumbangan kerajaan negeri.

Sementara itu, Abd Karim berkata, perlawanan pasukan veteran pada jam 8 malam membuka tirai TSSC 2024 diikuti perlawanan utama satu jam kemudian.

“Orang ramai boleh mendapatkan tiket berharga RM10 di restoran Uncle K SACC Mall Shah Alam sebulan sebelum tarikh perlawanan dan di Stadium Merdeka pada hari pertandingan.

“Sekiranya tidak berpeluang orang ramai juga boleh menonton perlawanan itu secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya.

Beliau turut menasihati penonton untuk menaiki pengangkutan awam sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel dengan waktu operasi dilanjutkan sehingga 12.30 tengah malam pada hari perlawanan.

Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

Semenara Pilihan Singapura pula pernah meraih gelaran sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Kedua-dua pasukan turut berkongsi kejuaraan pada 2015 memandangkan perlawanan terpaksa dibatalkan susulan jerebu.

Kali terakhir TSSC diadakan pada 2019 yang mana Pilihan Selangor menewaskan Pilihan Singapura 1-0. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *