KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sarankan kerajaan Persekutuan membantu kerajaan negeri itu mengambil tindakan segera menentukan tahap keselamatan Jalan Kuantan-Segamat, Rompin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah ini kerana statistik polis merekodkan 65 kes kemalangan dengan 79 maut di jalan berkenaan dalam tempoh lima tahun dari 2020.
“Antara punca dikenal pasti adalah letih, mengantuk dan kecuaian. Kemalangan perlu dielakkan di jalan raya terutama apabila aliran trafik bertambah di musim perayaan, cuti persekolahan dan cuti umum.
“Justeru, satu tindakan pantas perlu diambil oleh semua pihak berwajib bagi mengelakkan kemalangan berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Zahari berkata, Sultan Pahang pada masa sama mengingatkan pengguna supaya lebih berwaspada dengan memandu secara berhemah dan berhati-hati, selain berada dalam keadaan sihat dan cukup rehat bagi mengelak hilang kawalan atau ‘microsleep’.
Dalam pada itu, Mohamed Zahari berkata, baginda dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat, awal pagi semalam.
Beliau berkata, baginda berdua menzahirkan rasa sedih dan dukacita serta berharap seluruh ahli keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan itu.
“Bagaimanapun, baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana 36 ahli rombongan yang terdiri daripada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Melaka selamat dan hanya mengalami kecederaan serta mendoakan semoga mereka dikurniakan kesembuhan segera,” katanya.
Dalam kejadian itu, empat maut selepas bas persiaran yang dalam perjalanan membawa rombongan SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras terlibat dalam kemalangan.
Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan SK Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60, dan guru Dahlia Ahmad, 52. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252