Lelaki dibunuh dalam pergaduhan, mayat dibogel dan ditinggalkan

Lelaki maut bergaduh, mayat dibogel dan ditinggalkan

IPOH – Seorang lelaki maut dipercayai dibunuh dalam pergaduhan sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan bogel dalam kejadian di Laluan Perusahaan Klebang 1 depan sebuah kilang di Klebang di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata polis menerima maklumat kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi itu daripada orang awam mengenai pergaduhan yang berlaku sehingga menyebabkan kematian seorang individu, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut oleh polis terhadap badan mangsa menemui kesan luka pada dada, telinga dan kaki mangsa termasuk disebabkan tikaman.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lelaki itu ditemui dalam keadaan bogel di tepi jalan dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri padanya. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan luka pada bahagian dada, telinga dan kaki mangsa.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan disahkan meninggal dunia disebabkan kesan tikaman,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Abang Zainal berkata, kes diklasifikasi sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selain menambahkan bahawa usaha mengesan suspek sedang dijalankan di samping keterangan saksi yang terbabit akan dirakam percakapan mereka.

Beliau turut memohon ahli keluarga mangsa tampil untuk pengecaman identiti mangsa, selain menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil memberi keterangan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki menerusi 010-379 0508 atau mana-mana balai polis berhampiran. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *