BERITA UTAMA
12 Jun keputusan permohonan Dr Mahathir untuk semakan kehakiman

12 Jun keputusan permohonan Dr Mahathir untuk semakan kehakiman

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 12 Jun untuk keputusan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan jam 8.30 pagi untuk menyampaikan keputusannya, sejam sebelum Dr. Mahathir dipanggil memberi keterangan di hadapan panel RCI pada hari yang sama.

Hakim menetapkan perkara itu selepas mendengar hujahan oleh peguam bekas perdana menteri Zainur Zakaria dan peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dr. Mahathir memfailkan permohonan itu pada 5 Jun, menamakan pengerusi RCI Tun Md. Raus Sharif dan timbalannya Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Responden ketiga hingga kelapan ialah ahli RCI Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman

Beliau memohon perintah supaya prosiding RCI dalam pengendalian isu berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Beliau juga memohon perintah bagi melarang Md Raus daripada bertindak sebagai pengerusi RCI dan menghalang Dr Baljit dan Mohammed Ridha daripada menjadi ahli RCI.

Dalam permohonan itu Dr Mahathir turut memohon deklarasi bahawa beliau adalah individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang disiasat oleh RCI di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Dalam prosiding hari ini Zainur berhujah bahawa anak guamnya telah dipersalahkan dalam media sosial kerana kononnya menjual negara, justeru prosiding itu mesti didedahkan kepada umum.

“Kenapa menyembunyikan kebenaran? Kami mahu prosiding itu terbuka kepada orang ramai, bukannya diadakan secara tertutup. Ia adalah kes kepentingan awam,” kata peguam itu.

Sementara itu Shamsul membantah dengan mengatakan bahawa kuasa bagi pembentukan RCI dan pelantikan pesuruhjaya terletak pada Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *