Croatia akhirnya berjaya atasi Portugal

Croatia berjaya atasi Portugal

OEIRAS, Portugal – Croatia menamatkan persiapan Euro 2024 dengan kemenangan 2-1 ke atas Portugal dalam aksi persahabatan – kemenangan pertama dalam lapan pertemuan.

Skuad kendalian Zlatko Dalic menewaskan juara Euro 2016 itu di Lisbon sebagai amaran kepada pesaing Kumpulan B, Sepanyol, Itali dan Albania.

Portugal kendalian Roberto Martinez, antara pasukan yang pilihan di kejohanan kali ini, tewas buat kali kedua dalam 13 perlawanan di bawah pengendali dari Sepanyol itu.

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo sekadar memanaskan bangku simpanan dengan skuad kendalian Martinez mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan di babak kedua.

“Hari ini keputusan negatif… kami mahu menang, ia cara terbaik untuk maju, tetapi hari ini ada beberapa aspek positif juga.

“Menang ke atas Croatia tidak akan menjadikan kami cukup bagus untuk memenangi kejohanan, kalah tidak bermakna kami tidak akan layak ke pusingan 16 terakhir.

“Aksi persahabatan adalah tentang persiapan. Kini kami lebih kuat berbanding sebelum perlawanan. Inilah bola sepak antarabangsa. Kami tewas, Croatia berhak menang, tetapi ia ujian yang kami perlukan,” kata Martinez.

Portugal menang kesemua aksi kelayakan tetapi tewas dalam perlawanan persahabatan menentang Slovenia pada Mac, dan sekarang Croatia.

Pemain veteran Croatia, Luka Modric membuka jaringan menerusi sepakan penalti untuk gol antarabangsa ke-25 dirinya selepas Vitinha mengasari Mateo Kovacic.

Pemain tengah Real Madrid berusia 38 tahun itu mengharapkan kejayaan di Euro 2024 yang bakal menjadi kejohanan besar terakhir dalam karier antarabangsanya.

Pemain gantian, Diogo Jota menyamakan kedudukan di awal babak kedua tetapi Ante Budimir kembali meletakkan Croatia di depan menerusi tandukan.

Croatia akan memulakan saingan dengan menentang juara tiga kali, Sepanyol di Berlin.

Anak buah Martinez pula akan menghadapi aksi pemanas badan terakhir pada Selasa, menentang Ireland di Aveiro.

Portugal pasukan pilihan Kumpulan F yang turut menampilkan Republik Czech, Turkiye dan Georgia. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *