BERITA UTAMA
Polis tahan dua lelaki bertumbuk dalam kedai runcit

Polis tahan dua lelaki bertumbuk dalam kedai runcit

BUTTERWORTH – Dua lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah kedai runcit sebagaimana tular di media sosial semalam, telah ditahan polis.

Kejadian dikatakan berlaku pada jam 11.50 malam 3 Jun lalu di kedai runcit di Seberang Jaya, dekat sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, polis telah mengesan video yang merakamkan insiden pergaduhan dua lelaki itu jam 9.45 pagi semalam.

Katanya, kejadian berlaku ketika pekerja di kedai itu didatangi dua lelaki yang salah seorang dari mereka meminta untuk mengambil minuman keras.

“Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara pelanggan berkenaan dengan pekerja terbabit sehingga mereka bertumbuk dalam premis itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pergaduhan itu kemudian berlarutan sehingga luar premis apabila pelanggan yang tidak berpuas hati kemudian memukul belakang kepala pekerja kedai itu dengan topi keledar.

“Salah seorang daripada mereka cedera ringan di muka. Polis menahan kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Terdahulu tular dua klip video di media sosial memaparkan kejadian pergaduhan antara dua individu di dalam dan luar kedai runcit.

Salah seorang pelanggan yang didapati dalam keadaan mabuk bersama seorang jurujual kemudian bertumbuk dan memukul antara satu sama lain sebelum situasi itu dileraikan orang awam. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *