SHAH ALAM – Isteri kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan kini dalam keadaan kritikal menanggung penyakit kanser usus tahap empat dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu ketika berkongsi saat sedih menerusi rakaman video berdurasi 1 minit 35 saat berkata, keadaan isterinya kini kritikal kerana kanser telah merebak ke beberapa organ lain.
“Isteri saya menghidap kanser usus dan menjalani rawatan kimoterapi sejak tahun 2020 lagi dan kini sudah tahap empat.
“Dari usus telah merebak ke beberapa anggota tubuh yang lain. Jadi agak kritikal situasinya di hospital,” katanya dalam hantaran video yang dimuat naik di Facebooknya semalam.
Wan Saiful berkata, keadaan lebih memilukan apabila anaknya yang berusia 10 dan 12 tahun melihat keadaan ibu mereka yang kini sedang bertarung nyawa.
Ujarnya, beliau berulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk menjaga isterinya dan menyifatkan perkara yang dilalui itu sebagai satu ujian.
“Dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat, banyak ujian saya hadapi sama ada dalam gelanggang politik, kebajikan rakyat dan keluarga.
“Justeru, mohon semua sahabat, kenalan dan rakan-rakan mendoakan agar isteri saya sembuh seperti sedia kala serta diberikan kekuatan kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat kepada saya,” katanya. – ND
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
