Tajuk Utama
    Polis mohon sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan

    Suspek ditembak mati polis ada 23 rekod jenayah lampau – KP Selangor

    SHAH ALAM – Seorang daripada dua lelaki yang ditembak mati oleh polis di Lebuhraya Utara-Selatan Arah Utara malam tadi mempunyai 23 rekod jenayah lampau.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek tersebut juga masih mempunyai enam rekod dikehendaki polis.

    Jelas beliau, identiti seorang lagi suspek yang ditembak mati masih dikenal pasti oleh polis.

    Menurut Hussein, kejadian berlaku apabila sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengekori sebuah kereta jenis Proton Waja warna kelabu yang dalam keadaan mencurigakan.

    Katanya, suspek yang menyedari telah diekori polis bertindak melarikan diri dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan Arah Utara.

    “Pasukan polis telah mengejar suspek sehingga masuk ke Hentian Sebelah Tanjung Malim Arah Utara (KM396.5) dan berjaya menghentikan kenderaan suspek.

    “Ketika kejadian, suspek telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan dan polis kemudian membalas tembakan tersebut.

    “Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek dalam kenderaan tersebut berlumuran darah dan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Hussein berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian tersebut boleh tampil ke balai polis berhamiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223. – ND

     

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *